LONDON: Gary Lineker menggesa pengendali England, Gareth Southgate merehatkan bek kanan, Kyle Walker pada pertembungan pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang Senegal, awal pagi Isnin ini.
Bekas penyerang Three Lions itu, berkata pendekatan itu harus diambil Southgate bagi membolehkan Walker cergas sepenuhnya untuk bertemu Perancis pada pusingan lapan terbaik nanti sekiranya mereka berjaya menewaskan Senegal.
England 'wajib' mengatasi juara Afrika itu di pusingan kalah mati yang kemungkinan menjadi perlawanan paling sukar dalam kejohanan setakat ini.
Senegal mungkin beraksi tanpa kelibat tonggak utama, Sadio Mane yang mengalami kecederaan dan pasukan masih mempunyai 'senjata' untuk mengatasi England.
Begitupun, Lineker yang kini menjadi penyampai di sebuah saluran televisyen menegaskan, England harus mengenepikan pertahanan Manchester City, Walker daripada kesebelasan utama bagi memastikan pemain itu cergas dalam pertemuan menentang Perancis di suku akhir.
Penyandang juara, Perancis dijadual bertemu Poland pada pusingan 16 terbaik dan pemenang bakal bertemu pemenang perlawanan antara England dan Senegal.
Lineker berkata, sekiranya Walker cergas sepenuhnya ketika bertemu Perancis, ia akan menjadi sesuatu yang amat penting kerana dia akan beraksi menentang bintang Perancis, Kylian Mbappe - pemain yang berada di posisi serangan kiri buat Les Bleus.
"Kyle Walker harus tidak berada dalam pasukan England ketika menentang Senegal dan saya akan memberitahu sebabnya. Kami, England tidak boleh membiarkan Walker mengalami kecederaan dalam perlawanan itu.
"Ini kerana dia adalah satu-satunya bek di planet ini yang mampu bersaing dengan Kylian Mbappe.
"Mbappe bersama pasukan Perancis. Kenapa kamu mengambil risiko terhadapnya (Walker) untuk mengalami kecederaan, terutama pada posisi itu. Saya tidak mahu berlagak sombong dan memandang rendah Senegal, tetapi kenapa perlu merisikokan Walker?.
"Kita mempunyai dua pemain hebat di posisi itu iaitu Trent Alexander-Arnold dan Kieran Trippier, jadi ada pilihan di situ."
Pandangan Lineker mungkin mencetuskan kontroversi apatah lagi England masih belum dijamin boleh mengatasi Senegal, pasukan yang menewaskan Qatar dan Ecuador dalam Kumpulan A untuk layak ke pusingan kalah mati.
Malah, Senegal juga mempunyai rekod cemerlang pada tahun ini apabila mereka menjulang trofi Piala Negara-Negara Afrika dengan menewaskan Mesir di pentas final. - Agensi