DOHA: Gol ketiga England yang dipertikaikan pada final 1966 sentiasa menjadi rujukan terhadap insiden yang bakal 'dipadam' Video Bantuan Pengadil (VAR), namun kemenangan Jepun ke atas Sepanyol semalam mencetuskan debat mengenai 'adakah bola sudah melepasi garisan'?
Pengadil pada awalnya menganggap bola sudah pun keluar susulan tindakan Kaoru Mitoma 'memotong' bola sebelum melakukan hantaran kepada Ao Tanaka untuk gol kedua Jepun, namun pengadil mengubah keputusan selepas meneliti VAR.
Pengadil Sepanyol yang sudah bersara, Iturralde Gonzalez bagaimanapun berkata insiden terbabit tidak selalunya jelas pada mata kasar dan dia melontarkan keyakinan sepenuhnya kepada teknologi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
"Ia membabitkan isu perspektif yang membuatkan imejnya sangat mengelirukan. Perspektifnya jelas menerusi pandangan dari atas dan perut bola itu begitu besar.
"Sekiranya ada sedikit pun bahagian bola masih berada di atas padang, permainan perlu diteruskan. Semua orang boleh menggunakan apa sahaja gambar tetapi bola itu belum keluar (dari permainan)," katanya.
Ketika peraturan memerlukan sebahagian daripada bola untuk berada di atas garisan bagi memastikan ia kekal dalam permainan, itu tidak bermakna bola perlu menyentuh permukaan padang kerana lekuk bola yang tergantung di atas garisan putih turut dikira.
Seperti mana jaringan Geoff Hurst di Wembley 56 tahun lalu, pasukan paling terkesan dengan keputusan itu adalah Jerman yang akan meneruskan kemaraan ke pusingan 16 terbaik jika aksi Jepun-Sepanyol berakhir 1-1.
Bekas pemain tengah Scotland, Graeme Souness berkata Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) perlu lebih telus membabitkan keputusan VAR.
"Ada lebih kurang 80 juta orang Jerman yang sedang marah ketika ini, menunggu gambar yang menunjukkan bola itu belum lagi keluar daripada permainan.
"Kenapa kamu mencetuskan kekeliruan namun tidak menjelaskannya serta merta?" soalnya.
Salah seorang pengadil yang dianggap sebagai pengadil terbaik dari Perancis, Robert Wurtz beranggapan VAR memberi risiko terhadap kredibiliti pengadil.
"Apabila saya memutuskan ada sepakan penalti pada minit kelima dan kemudian VAR mengatakan ia bukan penalti, kuasa saya terus hilang," kata bekas pengadil berusia 80 tahun itu.
"Jadi bagaimana saya mahu terus dihormati oleh pemain untuk baki 85 minit lagi?," soalnya. -REUTERS