DOHA: Pertahanan England, John Stones tidak cemburu dengan pemilihan pemain oleh pengendali, Gareth Southgate untuk membarisi kesebelasan utama bagi aksi pusingan 16 terbaik berdepan Senegal, Isnin ini.
Namun, pertahanan berusia 28 tahun itu menegaskan betapa dia bertuah memiliki rakan sepasukan Manchester City, Phil Foden dalam skuad Three Lions.
Stones diturunkan dalam ketiga-tiga aksi bersama Harry Maguire untuk membantu England mengungguli Kumpulan B namun Southgate menggunakan kesemua pemain gantian dan merombak kesebelasan utama ketika menentang Wales.
Marcus Rashford dan Foden membarisi kesebelasan utama buat pertama kali yang menyaksikan Rashford meledak dua gol dan Foden menyumbang satu gol sekali gus penyokong mahu dua pemain itu kekal diturunkan untuk berdepan juara Afrika itu.
Southgate turut menurunkan Kyle Walker dan Jordan Henderson ketika bertemu Wales dan dia jelas memiliki banyak pilihan untuk merencana strategi.
"Perkara paling sukar menjadi pengurus adalah memilih kesebelasan utama. Hanya ada 11 pemain yang gembira sementara mereka yang tidak bermain tidak akan gembira.
"Kami ada pasukan yang hebat dan mereka yang berada di bangku simpanan memberikan impak yang besar.
"Pemain simpanan ini tidak mementingkan diri dan sentiasa meletakkan pasukan sebagai keutamaan selain berkorban untuk pasukan," katanya.
Foden dianggap sebagai pemain England paling berbakat selepas Paul Gascoigne dan Stones sendiri tahu bagaimana pemain itu mampu memberikan sesuatu buat pasukan.
"Semuanya kerana cara dia mengekspresikan dirinya serta kebebasan terhadap cara dia bermain. Ia menakutkan tetapi saya adalah peminatnya. Saya beruntung dapat bermain dengannya setiap hari.
"Saya bertuah, City bertuah dan England juga bertuah. Saya harap dia mendapat apa yang diperlukan untuk membantu dia terus beraksi dengan cemerlang," tambahnya. -REUTERS