DOHA: Penyerang Tunisia, Wahbi Khazri mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa selepas pasukan itu terkandas dalam saingan peringkat kumpulan Piala Dunia di Qatar.
Jaringan Khazri membolehkan Tunisia menewaskan juara bertahan, Perancis 1-0, kelmarin, sekali gus menyertai dua pemain Arab Saudi, Salem Al-Dawsari dan Sami Al-Jaber sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman negara Arab di Piala Dunia dengan masing-masing meledak tiga gol.
"Selepas perlawanan, dan dalam pertemuan yang membabitkan semua pemain dan kakitangan teknikal dan pengurusan, saya memberitahu semua orang bahawa ini adalah masa yang terbaik, dan saya berterima kasih kepada semua orang dan mendoakan kejayaan mereka," kata Khazri kepada Bein Sports French.
"Saya bangga dengan apa yang saya berikan kepada negara saya sejak beberapa tahun lalu, dan saya percaya masa depan kumpulan generasi ini cerah."
Penyerang Montpellier berusia 31 tahun menambah: "Untuk menewaskan Perancis dan menjaringkan gol, ia sesuatu yang sangat indah."
Tunisia memulakan kempen Piala Dunia dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Denmark sebelum tewas 0-1 di tangan Australia.
Kemenangan ke atas Perancis belum cukup untuk Tunisia ketika Australia berjaya mengatasi Denmark untuk melankah ke pusingan 16 terbaik dan akan bertemu Argentina.
Khazri yang dilahirkan di Perancis dan bermain satu perlawanan bersama pasukan itu pada 2012 kemudiannya memutuskan untuk menyarung jersi Tunisia.
Dia berjaya membantu Tunisia merekodkan 74 perlawanan antarabangsa dan meledak 25 gol.
- REUTERS