Khamis, 1 Disember 2022 | 2:46am
Wahbi Khazri (kiri) bersama rakan sepasukan selepas Tunisia menewaskan Perancis 1-0 dalam aksi Kumpulan D Piala Dunia 2022 di Stadium Education City, Doha. - Foto AP
Wahbi Khazri (kiri) bersama rakan sepasukan selepas Tunisia menewaskan Perancis 1-0 dalam aksi Kumpulan D Piala Dunia 2022 di Stadium Education City, Doha. - Foto AP

'Kami berjaya buat rakyat Tunisia bangga' - Khazri

DOHA: Kapten Tunisia, Wahbi Khazri, berkata pasukannya tetap berasa bangga walaupun tersingkir daripada Piala Dunia selepas menamatkan kempen dengan mengejutkan juara bertahan Perancis 1-0.

"Sudah tentu kami kecewa apabila tersingkir kerana tidak melakukan secukupnya pada dua perlawanan pertama.

"Bagaimanapun, saya rasa kami berjaya membuatkan rakyat Tunisia bangga," kata Khazri yang menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-58.

Ia adalah kemenangan pertama Tunisia ke atas lawan dari Eropah di pentas Piala Dunia dan mereka menamatkan saingan Kumpulan D di tangga ketiga pada empat mata, selepas seri dengan Denmark dan tewas kepada Australia.

Bagaimanapun, kemenangan ke atas Perancis tidak mencukupi untuk Tunisia mara apabila Australia menewaskan Denmark 1-0.

Pengendali Perancis, Didier Deschamps melakukan sembilan pertukaran ke atas skuadnya, tetapi Khazri menafikan yang lawan mereka memandang rendah keupayaan Tunisia.

"Mereka masih mempunyai pemain hebat di luar sana tetapi kami beraksi cemerlang dan saya rasa keputusan itu hasil kerja keras kami.

"Malangnya bola sepak lebih baik jika tidak perlu bergantung kepada keputusan perlawanan lain, tetapi kami masih boleh pulang dengan rasa bangga," katanya.

Membesar di Corsica, Khazri antara enam pemain kelahiran Perancis dalam skuad Tunisia dan dia turut beraksi untuk kelab Perancis, Montpellier.

Sementara itu, pengendali Tunisia, Jalel Kadri enggan membincangkan soal masa depannya selepas Tunisia menamatkan kempen Piala Dunia terbaik mereka sejak tahun 1978.

"Kontrak saya berdasarkan objektif pasukan. Ia tidak tercapai tetapi kami masih ada masa untuk memperbaikinya dan keputusan akhir terletak di tangan Persekutuan Tunisia," kata Kadri. - AFP

Berita Harian X