Rabu, 30 November 2022 | 9:39pm
Pemain Ecuador, Enner Valencia (atas) dihalang pemainSenegal, Kalidou Koulibaly pada aksi Piala Dunia Kumpulan A di Stadium Antarabangsa Khalifa. - AFP
Pemain Ecuador, Enner Valencia (atas) dihalang pemainSenegal, Kalidou Koulibaly pada aksi Piala Dunia Kumpulan A di Stadium Antarabangsa Khalifa. - AFP

Valencia menangis minta maaf

DOHA: Kapten veteran Ecuador, Enner Valencia tidak dapat menahan air matanya ketika membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat negara itu di atas kegagalan pasukan berkenaan melangkah ke pusingan kalah mati Piala Dunia di Qatar.

Bagaimanapun, Valencia bersama pasukannya yang hampir untuk mara ke pusingan 16 terbaik dan menyamai pencapaian terbaik Ecuador pada edisi 2006 tetap disanjung oleh peminat susulan persembahan cemerlang yang ditampilkan sepanjang kejohanan.

"Kami memohon maaf kepada seluruh rakyat Ecuador," kata Valencia sambil menangis selepas kekalahan 1-2 kepada juara Afrika, Senegal awal pagi tadi sekali gus menyekat kemaraan mereka untuk ke pusingan kalah mati.

"Kami tidak menjangkakan ini, kami sangat gembira dengan apa yang kami lakukan... Malangnya kami tidak dapat memenuhi harapan Ecuador."

Pemain berusia 33 tahun itu yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman Ecuador meledak tiga gol pada kempen kali ini iaitu ketika menewaskan Qatar 2-0 dalam aksi pembukaan dan seri 1-1 dengan Belanda.

Keputusan seri dengan Senegal sudah memadai untuk Ecuador layak ke pusingan kalah mati tetapi mereka terpaksa membayar harga yang tinggi di atas kelalaian apabila membenarkan jaringan kedua lawan hanya selepas tiga minit menyamakan kedudukan 1-1.

"Malangnya inilah bola sepak," kata pemain pertahanan, Angel Preciado.

"Kami mohon maaf kerana gagal melayakkan diri ke pusingan seterusnya dan kami berterima kasih kepada seluruh negara di atas sokongan sepenuh hati mereka." - REUTERS.

Kedudukan mata Kumpulan A
Kedudukan mata Kumpulan A

Berita Harian X