KUANTAN: Penasihat Teknikal Kelab Bolasepak Sri Pahang FC (SPFC), Fandi Ahmad dikatakan bakal membimbing skuad itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Menurut sumber SPFC, setakat ini, hanya Fandi disebut-sebut untuk membimbing skuad Tok Gajah dengan perubahan yang akan dilakukan termasuk menampilkan barisan pemain berpengalaman.
"Fandi adalah pilihan utama ketika ini selepas bersama Sri Pahang pada pertengahan musim dan membantu pasukan memperbaiki kedudukan di dasar Liga Super.
"Kehadiran Fandi ternyata memberikan impak positif walaupun misi menduduki lima kedudukan terbaik saingan Liga Super musim ini tidak kesampaian.
"Namun, pengalaman yang ada sebagai jurulatih dan pemain diyakini mampu untuk meletakkan Sri Pahang kembali bersaing merebut kedudukan lebih baik musim depan," kata sumber itu.
Dalam saingan Liga Super musim ini, Sri Pahang menamatkan kedudukan di tempat ketujuh sebelum terkandas pada pusingan awal Piala Malaysia.
Musim ini, skuad Tok Gajah bermula perlahan yang menyebabkan skuad itu terperosok di kedudukan bawahan yang ketika itu dibimbing Christophe Gamel.
Pada pertengahan musim, SPFC membuat keputusan melantik Datuk Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih baharu.
Ketika itu, Dollah turut dibantu Fandi untuk memperbaiki kedudukan liga dan usaha itu berjaya apabila menamatkan kedudukan ketujuh.