Rabu, 30 November 2022 | 2:27am
Pemain Senegal meraikan kejayaan apabila berjaya melayakkan diri ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Ecuador 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha. - Foto REUTERS
Pemain Senegal meraikan kejayaan apabila berjaya melayakkan diri ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Ecuador 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha. - Foto REUTERS

Kekecewaan Senegal pada Piala Dunia 2018 terubat

AL RAYYAN: Senegal kini boleh melupakan kekecewaan Piala Dunia 2018, di mana mereka tersingkir di peringkat kumpulan kerana jumlah kad kuning yang dikutip.

Kalidou Koulibaly membawa pasukannya ke pusingan kalah mati selepas meledak gol kemenangan ketika menewaskan Ecuador 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan A.

Jaringan minit ke-70 kapten Senegal itu mengubat luka empat tahun lalu apabila Senegal seri menentang tuan rumah, Russia pada aksi terakhir kumpulan dan perbezaan kad kuning dengan Jepun menghalang mereka mara ke pusingan kalah mati.

"Ini adalah hari yang istimewa buat Senegal. Saya bangga dapat menjaringkan gol ini, ia satu penghargaan buat saya.

"Jika kami kalah, ia satu kerugian yang amat besar. Selepas perlawanan pertama, ramai yang menjangkakan kami akan tersingkir, tetapi kami mahu melakukan sesuatu yang besar di sini.

"Kami sentiasa percaya akan layak ke pusingan 16 terakhir," kata Koulibaly yang turut dinobatkan pemain terbaik perlawanan.

Dalam satu lagi pertemuan yang perlu dimenangi di Qatar, Senegal mendahului selepas Ismaila Sarr menyempurnakan sepakan penalti di akhir babak pertama selepas dia dijatuhkan oleh pertahanan Ecuador, Piero Hincapie.

Moises Caicedo kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-67, dan Ecuador akan mara ke pusingan seterusnya jika keputusan kekal 1-1 hingga tamat permainan, manakala Senegal akan tersingkir.

Kali terakhir Senegal melepasi peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2002 di mana mereka mara hingga ke suku akhir pada penampilan sulung di kejohanan itu.

Senegal kini berpeluang menyamai atau mengatasi pencapaian itu dengan pengendali pasukan ketika ini, Aliou Cisse adalah kapten pasukan yang turut menyamai pencapaian terbaik pasukan dari Afrika di Piala Dunia.

Pada aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa itu, Koulibaly memakai lilitan kapten tertulis angka 19 bagi mengingati kematian Papa Bouba Diop, pemain yang menjaringkan gol dalam kemenangan 1-0 ke atas Perancis pada aksi pembukaan Piala Dunia 2002.

"Hari ini adalah ulang tahun kematiannya, saya akan memberikan trofi ini (pemain terbaik perlawanan) kepada keluarganya," katanya. - REUTERS

Berita Harian X