Selasa, 29 November 2022 | 8:38pm
Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (dua kanan) melawat Hashim Mustapha di kediamannya di Jalan Masjid Baung Bayam, Kota Bahru, baru-baru ini- - Foto NSTP/Siti Rohana Idris.
Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (dua kanan) melawat Hashim Mustapha di kediamannya di Jalan Masjid Baung Bayam, Kota Bahru, baru-baru ini- - Foto NSTP/Siti Rohana Idris.

Hashim Mustapha kembali kritikal

KOTA BHARU: Keadaan kesihatan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Hashim Mustapha yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, dekat sini, kembali kritikal.

Isterinya, Zaheran Hussien, 52, berkata, doktor menghubunginya pagi tadi memberitahu bacaan tekanan darah suaminya, menurun dengan mendadak.

Katanya lagi, sanak saudara juga diminta datang ke hospital berkenaan untuk bersedia dengan segala kemungkinan.

"Sebaik dihubungi doktor, saya bergegas datang dan dimaklumkan tekanan darahnya menurun.

Buat masa ini kami tidak boleh menjangkakan apa-apa perkembangan positif sebaliknya meminta semua berdoa yang baik-baik sahaja," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zaheran berkata dia terkilan dengan berita pemergian suaminya yang ditularkan sejak pagi tadi dan meminta agar orang ramai mendapatkan berita yang sahih sekaligus menghormati perasaan mereka sekeluarga.

Untuk rekod, Hashim pernah dinobatkan penjaring terbanyak dan memenangi anugerah kasut emas pada era 90-an dalam saingan Liga Malaysia selain turut mewakili negara pada era itu.

Penyerang kelahiran Kota Bharu itu, pernah dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan Kelantan pada 2010 sehingga 2012. Kali terakhir beliau menjadi ketua jurulatih pasukan Tok Janggut Warriors FC yang beraksi dalam Liga M3.

Berita Harian X