Selasa, 29 November 2022 | 8:08pm
Penyerang skuad B-23kebangsaan, Hadi Fayyadh Abdul Razak (dua kanan) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, Selangor, semalam. - Foto ihsan FB FAM
Penyerang skuad B-23kebangsaan, Hadi Fayyadh Abdul Razak (dua kanan) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, Selangor, semalam. - Foto ihsan FB FAM

Hadi idam bawa pulang emas dari Kemboja

KELANA JAYA: Penyerang skuad bawah 23 (B-23) tahun kebangsaan, Hadi Fayyadh Abdul Razak mengidamkan untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA Kemboja, tahun depan.

Penyerang tinggi lampai berusia 22 tahun itu menjelaskan apa yang penting ketika ini adalah skuad negara perlu melakukan persiapan pada tahap terbaik.

Malah, dia menaruh keyakinan bahawa barisan pemain muda negara mampu membentuk skuad mantap bagi merealisasikan impian untuk membawa pulang ibu segala pingat dari temasya dwitahunan tahunan itu.

"Kalau tanya saya, sudah pastinya saya nak pingat emas dan kalau tanya sesiapa pun kita nak dapatkan emas. Saya harap semua pemain dapat tanamkan azam yang tinggi.

"Paling penting adalah persiapan pasukan, kalau kita dapat lakukan persiapan dengan baik, Insya-Allah kita akan dapat satu keputusan yang baik di Sukan SEA," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad B-23, di sini, semalam.

Kali terakhir skuad negara memenangi pingat emas Sukan SEA pada 2011 di Indonesia apabila menewaskan pasukan tuan rumah 4-3 menerusi penentuan penalti.

Pada temasya sama di Vietnam pada Mei lalu, skuad bola sepak negara pulang dengan tangan kosong apabila tewas 3-4 menerusi penalti di tangan Indonesia.

Selain itu, Hadi yang dianggap antara pemain senior dalam skuad B-23 mengakui tetap perlu bekerja keras dalam latihan dan aksi persahabatan untuk memikat hati ketua jurulatih, E Elavarasan.

"Semua itu (tempat dalam skuad) terletak di tangan jurulatih. Apa yang penting saya perlu berikan 100 peratus dalam latihan dan juga seandainya ada aksi persahabatan.

"Saya sebagai penyerang perlu jaringkan gol dan sentiasa bagi komitmen yang baik sama ada di dalam dan luar padang bagi mendapat kepercayaan jurulatih," katanya.

Berita Harian X