Selasa, 29 November 2022 | 2:30pm
Pemain JDT Arif Aiman Mohd Hanafi (kiri) melakukan sepakan yang menghasilkan gol ketika menentang pasukan Borussia Dortmund FC, pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi. - Foto Bernama
Pemain JDT Arif Aiman Mohd Hanafi (kiri) melakukan sepakan yang menghasilkan gol ketika menentang pasukan Borussia Dortmund FC, pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi. - Foto Bernama

Arif Aiman gembira buat Dortmund terkedu

JOHOR BAHRU: Pemain sayap kanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi bersyukur selepas menjaringkan gol ketika skuad Harimau Selatan tumpas 1-4 kepada Borussia Dortmund pada aksi persahabatan antarabangsa Siri Jelajah Asia BVB di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Katanya, ia saat yang menggembirakan buat dirinya kerana berjaya menembusi benteng yang diterajui pemain berpengalaman Mats Hummel selain mampu membuat pasukan Eropah itu terkedu seketika.

"Sememangnya saya bersyukur apabila berjaya menjaringkan gol dan ia detik tidak boleh dilupakan kerana mampu merobek benteng antara pasukan terbaik di Eropah.

"Apapun, saya belum berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan kerana masih banyak lagi harus dipelajari dan masih ada kelemahan yang perlu dipertingkatkan untuk menjadi pemain yang baik.

"Menentang pasukan yang bersaing di Bundesliga itu memberi pengalaman terbaik buat saya dan rakan sepasukan untuk menimba ilmu," katanya.

Pada aksi malam tadi, Arif Aiman berjaya meledak gol pada minit ke-40 selepas berjaya mengatasi Simon Coulibaly sebelum merembat bola leret menewaskan Alexander Meyer namun Borussia Dortmund lebih gah dengan kemenangan 4-1 hasil jaringan Justin Njinmah minit ke-10, Donyell Malen (31), Ole Pohlmann (59) dan Samuel Bamba (69).

Arif juga mengakui faktor kepenatan selepas mengharungi aksi final Piala Malaysia menentang Selangor FC, Sabtu lalu menjejaskan rentak permainannya.

"Walaupun saya mengalami kesakitan, saya ketepikan kesakitan itu kerana mahu beraksi dan ia berbaloi kerana saya dapat belajar cara mengawal bola dengan baik selain tindakan mereka melakukan umpanan di sebelah kiri dan kanan yang begitu sempurna," kata Arif.

Berita Harian X