Isnin, 28 November 2022 | 8:17pm
Pemain JDT, Fernando Forestieri bersaing dengan pemain Selangor FC, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (dua kiri) pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hujung minggu lalu. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.
Pemain JDT, Fernando Forestieri bersaing dengan pemain Selangor FC, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (dua kiri) pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hujung minggu lalu. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.

Mukhairi intai peluang perkuat Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Selepas membantu Selangor mara ke final Piala Malaysia musim ini, Mukhairi Ajmal Mahadi kini mengintai untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan ke Piala AFF 2022 bulan depan.

Mukhairi bagaimanapun menjelaskan dia perlu bekerja keras untuk memikat hati pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon seandainya mahu berada skuad akhir ke kejohanan itu.

Perancangan tengah berusia 21 tahun itu berkata, latihan pusat Harimau Malaya yang akan bermula esok juga menjadi medan terbaik untuk pemain muda membunjukkan keupayaan bersama skuad kebangsaan.

"Syukur, mungkin di liga saya bekerja keras dan jurulatih (kebangsaan) pun percaya pada saya. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik untuk mendapatkan tempat ke Piala AFF.

"Saya berasa ini peluang baik untuk semua pemain muda dan satu motivasi kepada semua pemain sebab dia (jurulatih) memanggil ramai muka baharu. Jadi, kami akan bersaing secara sihat," katanya.

Rabu lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan 29 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan sebagai persiapan ke Piala AFF.

Sehari kemudian, badan ini itu mengumumpkan bahawa Pan Gon memanggil pertahanan Selangor, Fazly Mazlan yang berada dalam senarai bersedia, sekali gus melengkapkan 30 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat.

Skuad Harimau Malaya bagaimanapun akan menguji taring dalam dua aksi persahabatan antarabangsa terlebih dahulu sebelum ke Piala AFF.

Anak buah Pan Gon dijadual menentang Kemboja pada 9 Disember ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi persahabatan kedua pada 14 Disember di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Seterusnya pengendali dari Korea Selatan itu akan menamakan senarai akhir 23 pemain ke Piala AFF 2022 yang mana bagi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar pada 21 Disember, Laos (24 Disember), Vietnam (27 Disember) dan Singapura (3 Januari).

Berita Harian X