Isnin, 28 November 2022 | 5:18pm
Ahli Parlimen Kota Bahru, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (tiga kanan) melawat bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Kelantan era 90-an, Mohd Hashim Mustapha (kanan) di kediamannya di Kampung Cherang, Kota Bharu pada 22 Oktober lalu. - Foto NSTP/Nik Omar Abdullah
Ahli Parlimen Kota Bahru, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (tiga kanan) melawat bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Kelantan era 90-an, Mohd Hashim Mustapha (kanan) di kediamannya di Kampung Cherang, Kota Bharu pada 22 Oktober lalu. - Foto NSTP/Nik Omar Abdullah

Hashim Mustapha kembali stabil, masih ditidurkan

KOTA BHARU: Keadaan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Hashim Mustapha yang kritikal sebelum ini sehingga terpaksa ditidurkan, sudah beransur stabil.

Beli bagaimanapun masih lagi ditidurkan sejak dimasukkan ke hospital pada tengah hari Jumaat lalu dan sedang menjalani rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian, dekat sini.

Isterinya, Zaheran Hussien, 52, berkata, doktor memaklumkan suaminya menjalani rawatan mencuci darah sejak malam tadi berikutan jangkitan kuman sudah merebak.

"Bagaimanapun doktor juga memberitahu ada sedikit perubahan terhadap suami dan dia juga kelihatan semakin stabil walau masih ditidurkan.

"Ubat-ubatan yang digunakan juga sudah dikurangkan dosnya dan saya anggap suami sudah melepasi tempoh kritikal," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zaheran berkata, walaupun sudah ada sedikit perubahan, mereka sekeluarga masih belum mampu berasa lega selagi bekas penolong jurulatih pasukan Kelantan itu belum membuka mata.

Katanya lagi, sejak empat hari berkampung di hospital, dia sentiasa menemani suaminya walau hanya dibenarkan menjenguk sesekali sahaja.

"Saya sentiasa memberi kata-kata sokongan buatnya walau tidak tahu sama ada dia mampu mendengar atau tidak kerana sekurang-kurangnya saya ingin suami tahu, kami ingin dia kuat.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua yang mendoakan suami termasuk mengadakan solat hajat untuk kesembuhannya," katanya.

Mohd Hashim yang juga bekas penjaring terbanyak dan memenangi Anugerah Kasut Emas pada era 90-an dalam saingan Liga Malaysia itu menghidap penyakit kencing manis dan akibat komplikasi itu, kaki kirinya sudah dipotong pada Oktober lalu.

Berita Harian X