MEDAN, Indonesia: Pasukan kebangsaan Indonesia tidak layak beraksi pada Piala Dunia, tetapi sebuah syarikat yang berpangkalan di Jawa membanggakan negara republik itu sebagai pembuat bola perlawanan rasmi kejohanan itu.
Al Rihla, bola sepak rasmi bagi Qatar 2022, dikilang di daerah Madiun dalam wilayah Jawa Timur oleh PT Global Way.
Pengilang barangan sukan tempatan itu membuka kilangnya pada 2019 dan menggaji lebih 2,000 pekerja, menurut laman web syarikat itu.
Ahmad Dawami, pemimpin daerah Madiun berkata bola perlawanan rasmi itu menjadi kebanggaan bagi wilayah itu dan memberikan lonjakan yang amat diperlukan terhadap ekonomi mereka sejak 2020.
"Apabila kami membuka kilang pada 2020, kami mempunyai rasa bangga yang luar biasa," kata Dawami.
Al Rihla, yang bermaksud "perjalanan" dalam bahasa Arab, dihasilkan dengan kerjasama Adidas.
PT Global Way juga bekerjasama dengan Puma, UHLsport dan Mizuno untuk menghasilkan peralatan sukan yang dieksport ke seluruh dunia.
Dawami berkata, satu juta cenderahati bola sepak dibuat di kilang itu dan dihantar ke Brazil, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman dan Emiriah Arab Bersatu sebagai sebahagian daripada sambutan Piala Dunia. – AGENSI