Isnin, 28 November 2022 | 12:52pm
Pemain Senegal menjalani latihan menjelang aksi hidup mati menentang Ecuador, malam esok. - AFP
Pemain Senegal menjalani latihan menjelang aksi hidup mati menentang Ecuador, malam esok. - AFP

Pertarungan hidup mati Ecuador, Senegal

DOHA: Pasukan muda Ecuador berpeluang menyamai pencapaian mara ke pusingan 16 terbaik di Piala Dunia jika berjaya menewaskan ataupun setidak-tidaknya seri dengan Senegal pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Antarabangsa Khalifa, malam esok.

Pasukan Amerika Selatan itu mengharungi kempen yang memberangsangkan apabila mudah menundukkan Qatar 2-0 sebelum memberi tentangan hebat kepada Belanda menerusi keputusan 1-1 meskipun perbezaan ranking yang begitu ketara.

Bagaimanapun, 'kerja' mereka belum berakhir memandangkan mereka akan pulang sekiranya tewas di tangan juara Afrika itu sekali gus meranapkan impian untuk mara ke pusingan kalah mati buat kali kedua dalam sejarah Ecuador.

"Ada pertarungan yang lebih besar menanti kami," kata jurulatih, Gustavo Alvaro yang mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu bergembira dengan kejayaan mengikat Belanda sebelum ini.

Ecuador dijangka terus bergantung harap kepada penyerang veteran, Enner Valencia yang setakat ini berjaya meledak ketiga-tiga gol buat pasukan itu pada kempen Piala Dunia kali ini.

Namun, mereka bimbang dengan kecergasan Valencia selepas dia terpaksa diusung keluar di hujung permainan menentang Belanda susulan kecederaan lutut yang dialaminya pada aksi pertama berdepan Qatar.

"Dia satu-satunya pemain yang ada pengalaman beraksi di Piala Dunia. Pemain yang lain semuanya masih budak-budak."

Sementara itu, Senegal tampak kurang 'sengat' susulan ketiadaan Sadio Mane yang mengalami kecederaan dan mereka tahu betapa mereka perlu tampil lebih baik untuk menewaskan Ecuador.

"Fokus kami perlu lebih baik. Kami perlu menang supaya ada peluang untuk layak ke pusingan 16 terbaik," kata jurulatih Senegal, Aliou Cisse.

Menjadi satu-satunya negara dari Afrika yang mara sehingga ke suku akhir Piala Dunia, Senegal tahu kemenangan ke atas Ecuador akan memperbaiki pencapaian edisi lalu yang menyaksikan mereka tersingkir kerana rekod disiplin.

Berita Harian X