Isnin, 28 November 2022 | 10:00am
Reaksi Roberto Martinez (dua dari kanan) dan Romelu Lukaku ketika aksi menentang Maghribi di Stadium Al Thumama. - EPA
Reaksi Roberto Martinez (dua dari kanan) dan Romelu Lukaku ketika aksi menentang Maghribi di Stadium Al Thumama. - EPA

Anda belum lihat Belgium sebenar - Martinez

DOHA: Jurulatih Belgium, Roberto Martinez bingung mengapa pasukannya terlalu lemah dalam dua perlawanan pertama Piala Dunia, namun memberi alasan kekalahan mengejut 2-0 di tangan Maghribi malam tadi disebabkan mereka takut untuk kalah dan tidak mempunyai kualiti dalam serangan.

Belgium menang tipis 1-0 ke atas Kanada pada aksi pembukaan Kumpulan F dan bermain di bawah tahap sebenar sekali lagi apabila mereka tewas kepada pasukan Maghribi yang bersemangat dan mendapat sokongan padu majoriti 43,000 penonton di Stadium Al Thumama, keputusan yang menjejaskan kemaraan mereka ke peringkat berikutnya.

Perancang utama Kevin De Bruyne beraksi buruk dan kapten Eden Hazard langsung tidak efektif. Kedua-dua pemain itu biasanya menjadi sandaran pasukan tetapi Martinez enggan untuk menyalahkan individu.

"Anda belum menyaksikan Belgium yang sebenar pada Piala Dunia ini," akuinya. "Hari ini saya fikir kami bermain dengan kebimbangan untuk kalah. Tanpa bola kami masih bagus tetapi apabila kami mendapat bola, kami tidak menyerlah, kami bukan diri kami yang sebenar. Kami perlu berusaha memperbaikinya.

"Kami perlu kekal bersatu dan lebih kuat. Saya amat memahami kelompok pemain ini, kami akan bersedia untuk Croatia (Khamis)."

Gol pertama jaringan Romain Saiss mengatasi penjaga gol Thibaut Courtois di penjuru gol, kesilapan kolektif dalam menangani tendangan percuma, namun Martinez menyatakan ia sebaliknya.

"Kami tidak menggunakan peluang dicipta pada babak pertama dan gol pertama Maghribi itu menentukan hala tuju perlawanan hingga ke akhirnya," katanya.

"Kami bertahan dengan situasi standard dengan cara yang sama selama enam tahun (sejak beliau mengambil alih pasukan). Jika bola disepak dengan bagus, ia bola yang sukar buat penjaga gol.

"Selepas gol itu, perlawanan bertukar rentak secara drastik dan kami tidak cukup berhati-hati ketika mengawal bola untuk mengatasi Maghribi."

Pertahanan berpengalaman Jan Vertonghen berasakan pasukan itu tidak menyengat ketika menyerang sekalipun dia turut mengecam pandangan dalam media skuad 'Generasi Emas' itu sudah melepasi zaman kegemilangan mereka.

"Terlalu banyak perkara berlegar-legar dalam fikiran saya ketika ini, perkara yang saya tidak patut luahkan. Saya tidak fikir kami mencipta sebarang peluang. Di mana silapnya? Kami mungkin juga menyerang dengan teruk kerana kami terlalu tua, mungkin itu sebabnya, betul?" katanya secara menyindir.

"Kami mempunyai banyak kualiti di bahagian serangan begitu juga Maghribi dan mereka lebih bagus hari ini. Ini amat menyedihkan." – REUTERS

Berita Harian X