Isnin, 28 November 2022 | 7:32am
Pemain Jerman, Niclas Fuellkrug (jersi 9) menjaringkan gol penyamaan pasukannya ketika menentang Sepanyol. - EPA
Pemain Jerman, Niclas Fuellkrug (jersi 9) menjaringkan gol penyamaan pasukannya ketika menentang Sepanyol. - EPA

Gol Fuellkrug tonik terbaik ubah nasib Jerman

AL-KHOR: Pengendali Jerman, Hansi Flick berkata jaringan penyamaan lewat permainan ketika pasukannya mengikat Sepanyol mungkin menjadi tonik terbaik yang diperlukan dalam usaha layak ke pusingan kalah mati dan mengubah nasib mereka dalam kempen Piala Dunia kali ini.

Pemain gantian, Niklas Fuellkrug meledak gol penyamaan pada minit ke-83 untuk memadam gol pendahuluan Sepanyol sekali gus memberikan mata pertama buat mereka dalam dua perlawanan selepas tewas mengejut di tangan Jepun pada aksi pembukaan.

Jaringan itu jelas menghidupkan peluang mereka untuk mara ke pusingan seterusnya dengan mereka harus menang ke atas Costa Rica pada aksi terakhir kumpulan.

Reaksi pengendali Jerman, Hansi Flick (tengah) ketika menentang Sepanyol, awal pagi tadi. - Foto EPA
Reaksi pengendali Jerman, Hansi Flick (tengah) ketika menentang Sepanyol, awal pagi tadi. - Foto EPA

"Kami tahu apa yang dipertaruhkan di sini. Sepanyol beraksi dengan baik tetapi kami setara dan memiliki peluang di hujung permainan tetapi inilah yang sudah terjadi.

"Semuanya akan berjalan lancar apabila anda mula meraih kemenangan. Mungkin inilah pencetus yang kami perlukan," kata Flick.

Leroy Sane terlepas peluang untuk menghadiahkan kemenangan kepada Jerman di hujung permainan namun Flick tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

"Pemain menunjukkan semangat juang dan saya berpuas hati dengan mentaliti mereka. Ini yang kami mahu dan kami tahu kami melangkah setapak lagi.

"Kami mahukan keadaan yang terbaik untuk menentang Costa Rica nanti dan layak ke pusingan kalah mati," kata Flick.

Penyerang Jerman, Leroy Sane (kiri) melakukan rembatan cuba dihalang penjaga gol Sepanyol, Unai Simon. - Foto AFP
Penyerang Jerman, Leroy Sane (kiri) melakukan rembatan cuba dihalang penjaga gol Sepanyol, Unai Simon. - Foto AFP

Jerman berada di ambang penyingkiran seawal peringkat kumpulan bagi dua edisi berturut-turut namun keputusan seri ke atas Sepanyol selain kekalahan mengejut Jepun di tangan Costa Rica menyalakan kembali peluang mereka.

"Costa Rica menunjukkan mentaliti yang baik apabila bangkit daripada kekalahan 7-0 di tangan Sepanyol (dan menewaskan Sepanyol).

"Itulah bola sepak. Kadangkala pasukan yang tidak mencipta banyak peluang boleh meraih kemenangan. Kami merasai pengalaman itu ketika berdepan Jepun," tambahnya. - REUTERS

Berita Harian X