Isnin, 28 November 2022 | 12:24am
Stesen televisyen Maghribi, 2M di akaun Twitter rasmi mereka menjelaskan Bounou mengalami pening sebelum sepak mula antara Maghribi dan Belgium. Pemain itu meminta untuk digantikan. - Foto REUTERS
Stesen televisyen Maghribi, 2M di akaun Twitter rasmi mereka menjelaskan Bounou mengalami pening sebelum sepak mula antara Maghribi dan Belgium. Pemain itu meminta untuk digantikan. - Foto REUTERS

Penjaga gol Maghribi 'hilang' sebelum sepak mula

DOHA: Penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou 'hilang' sebelum sepak mula perlawanan yang menyaksikan pasukannya mengejutkan Belgium dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia dengan keputusan 2-0, semalam.

Bounou berada bersama pasukan Maghribi ketika lagu kebangsaan dinyanyikan sebelum dilihat keluar bertemu jurulatih, Walid Regragui.

Pengendali itu kemudian dilihat memeluknya sebelum bercakap dengan penjaga gol gantian.

Munir El Kajoui seterusnya berlari ke padang, tepat pada masanya untuk mengambil gambar pasukan sebelum perlawanan dan dia beraksi cemerlang untuk menyekat Belgium yang berada di ranking kedua dunia melakukan sebarang percubaan menembusi gawang gol.

Meskipun masih tiada sebarang penjelasan mengenai 'misteri' Bounou daripada pasukan Maghribi ataupun pegawai perlawanan di Stadium Al Thumama, namun stesen televisyen Maghribi, 2M di akaun Twitter rasmi mereka menjelaskan pemain itu mengalami pening sebelum sepak mula dan meminta untuk digantikan.

Bounou, 31, yang lahir di Kanada adalah penjaga gol nombor satu buat Maghribi dan bermain bersama kelab Sepanyol, Sevilla.

Dia diturunkan ketika Maghribi seri tanpa jaringan dengan Croatia pada perlawanan pembukaan peringkat kumpulan sebelum ini. - AP

Berita Harian X