DOHA: Selepas 24 tahun penantian kemenangan di Piala Dunia, pasukan Maghribi akhirnya menamatkan kemarau itu apabila melakar kejutan ke atas Belgium 2-0 menerusi jaringan pemain gantian, Abdelhamid Sabiri dan Zakaria Aboukhlal.
Pada aksi Kumpulan F sebentar tadi di Stadium Al Thumama, bola lencong dari Sabiri berjaya menembusi pertahanan akhir dikawal rapi Thibaut Courtis sebelum Aboukhlal meledak jaringan pada masa tambahan untuk meletakkan Maghribi berada di puncak saingan kumpulan dengan empat mata, satu mata di depan Belgium.
Ia adalah kemenangan pertama Maghribi di Piala Dunia sejak mereka menewaskan Scotland pada 1998 sebelum meninggalkan kejohanan edisi 2018 dengan hanya satu mata.
"Kami menjaringkan gol pada masa yang tepat. Kami layak untuk menang. Selepas 70 minit, sesetengah pemain kami keletihan, tetapi dengan sokongan padu penyokong, ia banyak membantu kami.
"Mereka memberikan kami semangat tambahan," kata pemain terbaik perlawanan, Hakim Ziyech.
Belgium yang menang tipis 1-0 ke atas Kanada pada perlawanan pembukaan sebelum ini sekali lagi tampak 'tempang', berbanding edisi 2018 yang menyaksikan mereka menamatkan kejohanan di tempat ketiga dan naik ke tangga kedua ranking dunia.
Mereka kini hanya berbaki satu perlawanan untuk penentuan tempat ke pusingan 16 terbaik menentang Croatia pada Khamis ini.
"Satu keputusan sukar. Kami tidak dapat menemui rentak permainan. Ia satu perlawanan yang perlu kami fahami; kami perlu sepakat dan bertindak. Itu yang berlaku di Piala Dunia," kata jurulatih Belgium, Roberto Martinez. - Reuters