KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) mungkin perlu melupakan seketika kegembiraan merangkul kejuaraan treble musim ini selepas menjuarai Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit jalil, malam tadi.
Ia kerana skuad Harimau Selatan kini perlu memberi fokus sepenuhnya bagi aksi persahabatan berdepan kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim, esok.
Ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio juga menegaskan bahawa perlawanan dengan Dortmund itu penting buat pasukannya dan Malaysia.
"Aksi berdepan Dortmund sangat penting untuk JDT dan Liga Malaysia. Bukan mudah untuk bermain dengan Dortmund dan mereka adalah pasukan besar di dunia.
"Kami akan cuba memberikan yang terbaik walaupun ia sukar buat kami kerana tidak cukup masa untuk proses pemulihan, tetapi saya yakin dengan skuad ini," katanya selepas menewaskan Selangor 2-1 di pentas final Piala Malaysia, malam tadi.
Kejayaan menjulang Piala Malaysia menyaksikan JDT mencipta sejarah memenangi kejuaraan treble buat kali pertama selain muncul pasukan sulung memenangi empat trofi dalam satu musim termasuk Piala Sumbangsih.
Lebih manis, JDT juga mengekalkan status pasukan paling kebal apabila tidak kalah dalam semua pertandingan domestik sepanjang musim ini.
Mengulas lanjut, Bidoglio mendedahkan bahawa bukan mudah untuk pasukannya mencapai kejayaan berganda itu walaupun sentiasa dianggap sebagai pasukan pilihan.
Pengendali dari Argentina itu menegaskan bahawa pencapaian menakjubkan itu berjaya dicapai hasil kerja keras semua pihak di kelab termasuk pengurusan, staf dan pemain.
"Hari ini JDT melepasi garisan (penamat) dengan menang empat piala dalam satu tahun dan ia menakjubkan buat JDT selepas emua pemain bekerja keras setiap hari," katanya.