DOHA: Kecederaan dialami Karim Benzema sejurus sebelum Piala Dunia memberi ancaman besar terhadap usaha Perancis mempertahanakn gelaran, namun Kylian Mbappe sekali lagi menunjukkan mereka ada sumber serangan simpanan tanpa pemenang Ballon d'Or itu di Qatar.
Ketika Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo hanya ada satu peluang lagi untuk menang Piala Dunia, Mbappe mengejar kejayaan kedua hanya pada usia 23 tahun – dan dia pasti akan menjadi pemain yang akan mendominasi sukan itu bagi tempoh yang lama.
Bergelar juara Piala Dunia di Russia, ketika dia menjadi pemain remaja pertama menjaringkan gol di final sejak Pele pada 1958, Mbappe kini sudah mengumpul tujuh gol dalam sembilan aksi Piala Dunia selepas dua gol menewaskan Denmark.
"Kylian ialah pemain yang menakjubkan... dia ada kemampuan di bahagian serangan dan menjadikan ia berbeza walaupun lawan cuba menyekatnya," kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.
"Kami juga ada pemain bahaya lain di sekelilingnya yang turut memberikan kelebihan buatnya."
Watak pembantu pastinya memainkan peranan di samping Mbappe ketika Perancis menjadi pasukan pertama layak ke kelompok 16 terakhir selepas menang 2-1 mengatasi Denmark.
Persembahan hebat Mbappe pada aksi pembukaan menang 4-1 mengatasi Australia – ketika dia menjaringkan gol dan menghasilkan satu bantuan – dibayangi Olivier Giroud yang menyamai rekod sepanjang zaman Thierry Henry buat Perancis.
Ketika Denmark berjaya merantai Giroud selama sejam, mereka bergelut dengan kepantasan Mbappe serta kelincahan Ousmane Dembele, yang akhirnya bebas daripada masalah kecederaan yang membelenggu kariernya. - AFP