DOHA: Australia mempertahankan kelebihan gol pada babak pertama untuk meraih kemenangan penting 1-0 ke atas Tunisia dalam aksi Kumpulan D saingan Piala Dunia dekat sini, sebentar tadi, sekali gus menghidupkan peluang ke pusingan 16 terbaik.
Menyedari kekalahan akan menyingkirkan mereka dari kejohanan berkenaan, anak buah Graham Arnold itu memperaga aksi bertenaga untuk menyekat Tunisia pada aksi di Stadium Al Janoub, Al Wakrah.
Mitchell Duke menampan hantaran Craig Goodwin untuk meletakkan mereka di hadapan pada minit ke-23.
Meskipun diejek penyokong Tunisia, Australia bertahan dengan baik untuk meraih kemenangan pertama mereka di Piala Dunia sejak 2010.
Mereka berjaya menafikan hasrat Tunisia untuk mendapat gol penyamaan yang menyaksikan penjaga gol, Mathew Ryan menyelamatkan percubaan Youssef Msakni.
Pertahanan Stoke City, Harry Souttar menunjukkan persembahan yang menakjubkan selepas beberapa kali menutup ruang Tunisia daripada mendapatkan gol.
Australia yang dimalukan Perancis pada babak pertama akan berdepan Denmark pada aksi terakhir kumpulan selepas ini.
- AGENSI