Sabtu, 26 November 2022 | 2:05pm
Gambar menunjukkan logo "One Love" di papan iklan pada sidang media pasukan Jerman di Stadium Al Shamal, Doha. - AFP
Gambar menunjukkan logo "One Love" di papan iklan pada sidang media pasukan Jerman di Stadium Al Shamal, Doha. - AFP

FIFA berkeras, penyokong One Love mula 'goyang'

DOHA: Pemimpin bola sepak Inggeris mendedahkan semalam FIFA mengancam penggantungan "tanpa had" terhadap pemain yang memakai lilitan lengan pelangi 'One Love' pada perlawanan Piala Dunia di Qatar.

England, Wales dan lima negara Eropah merancang untuk memakai lilitan lengan bagi mempromosikan kepelbagaian, tetapi menarik balik inisiatif itu selepas badan induk bola sepak mengancam mereka dengan kad kuning dan denda.

Lilitan lengan kapten itu dilihat sebagai tindak balas kepada undang-undang di Qatar, yang mana homoseksual diharamkan.

Ketua Eksekutif Persatuan Bolasepak (FA) England Mark Bullingham berkata, FA percaya FIFA secara efektif mengancam untuk menggantung pemain.

"Ia tidak terhad. Mereka akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pemain yang memakai lilitan selain mendapat kad kuning," katanya kepada ITV Sport.

England, Wales, Belgium, Denmark, Jerman, Belanda dan Switzerland menyatakan mereka menulis surat kepada FIFA pada September lalu memaklumkan mengenai pemakaian lilitan lengan 'One Love', tetapi tidak mendapat jawapan.

"Kami bermesyuarat beberapa kali dengan FIFA dalam tempoh itu dan sebelum perlawanan Sabtu lalu kami mencapai persefahaman untuk memakainya," kata Bullingham.

"Kami tidak mendapat kebenaran tetapi kami sedar akan berdepan denda.

"Malangnya pada hari perlawanan, mereka memberi kami notis 10 minit - dua jam sebelum kami dijadualkan menghadiri perlawanan.

"Mereka datang ke sini bersama lima pegawai dan mereka menjelaskan senario yang mana sesiapa sahaja yang memakai lilitan lengan itu akan dilayangkan kad kuning serta berdepan tindakan tatatertib."

Pemain Jerman menutup mulut mereka dengan tangan ketika bergambar sebelum perlawanan menentang Jepun Selasa lalu sebagai protes terhadap pendirian FIFA dan persekutuan bola sepak Jerman (DFB) berkata, ia akan menyiasat sama ada ancaman untuk menggantung pemain kerana memakai lilitan itu sah. – AFP

Berita Harian X