DOHA: Pengurus Senegal, Aliou Cisse yakin pasukan Afrika boleh menjuarai Piala Dunia selepas anak buahnya menewaskan Qatar 3-1 malam tadi untuk kembali menghidupkan peluang dalam Kumpulan A.
Pasukan Afrika tidak pernah melepasi peringkat suku akhir Piala Dunia ketika hanya Cameroon, Senegal dan Ghana berjaya melangkah ke tahap itu.
Cisse percaya rentetan beberapa keputusan mengejut setakat ini di Qatar membuktikan "banyak perkara berubah" dalam senario bola sepak dunia dan beliau tidak melihat alasan kenapa kali ini tidak boleh menjadi milik Afrika.
"Ya, negara Afrika boleh memenangi Piala Dunia dan saya harap ia adalah Senegal," kata jurulatih itu, salah seorang pemain dalam skuad Lions of Teranga yang mengalahkan Perancis dalam laluan ke suku akhir di Jepun dan Korea Selatan 20 tahun lalu.
"Semua pasukan yang bertanding pada Piala Dunia kali ini memang layak berada di sini.
"Ia tidak seperti 30 atau 35 tahun yang lalu apabila pasukan kerdil tidak mampu untuk mencabar pasukan gergasi."
Senegal kecundang di tangan Belanda pada aksi pertama mereka namun berjaya menghidupkan kembali peluang dengan kemenangan meyakinkan ke atas tuan rumah Qatar.
Gol pada setiap babak menerusi Boulaye Dia dan Famara Diedhiou meletakkan juara Afrika itu dalam keadaan selesa sebelum Mohammed Muntari merapatkan kedudukan buat Qatar.
Pemain gantian Bamba Dieng memastikan kemenangan Senegal dengan gol ketiga enam minit kemudian dan Cisse gembira dengan sumbangan penyerangnya di sebalik ketiadaan bintang yang cedera Sadio Mane.
"Amat sukar untuk menggantikan pemain berkaliber seperti Sadio Mane tetapi bola sepak adalah sukan berpasukan," katanya.
"Mana-mana jurulatih mahukan pasukan mereka beraksi baik bersama dan kami amat sabar. Sadio adalah Sadio dan dia seorang pemain hebat."
Senegal akan berusaha memastikan tempat ke pusingan kalah mati apabila mereka berdepan Ecuador pada Selasa ini dan Cisse berkata, beliau berasakan pasukannya "mendapat keserasian" ketika menentang Qatar. – AFP