Sabtu, 26 November 2022 | 5:27am
Kapten Ecuador, Enner Valencia (tengah) menjaringkan gol penyamaan ketika aksi Kumpulan A Piala Dunia 2022 menentang Belanda di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha. - Foto AFP
Kapten Ecuador, Enner Valencia (tengah) menjaringkan gol penyamaan ketika aksi Kumpulan A Piala Dunia 2022 menentang Belanda di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha. - Foto AFP

Valencia wira Ecuador ikat Belanda

DOHA: Kapten Ecuador, Enner Valencia meneruskan momentum cemerlang pada aksi kedua peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 apabila membantu pasukannya mengikat Belanda 1-1 yang secara tidak langsung menyingkirkan tuan rumah, Qatar daripada kejohanan.

Valencia menjaringkan gol penyamaan pada babak kedua selepas Cody Gakpo meledak gol buat Belanda pada minit keenam dan meletakkan mereka berada di kedudukan kedua dalam carta Kumpulan A ketika ini.

Pemain berusia 33 tahun berkenaan membantu pasukan dari Amerika Selatan itu meraih kemenangan 2-0 ke atas Qatar, Ahad lalu dan dia turut meneruskan kecemerlangan di Stadium Antarabangsa Khalifa bagi memastikan satu mata berjaya dikutip.

Ecuador dan Belanda kini berkongsi kedudukan di puncak Kumpulan A dengan empat mata - yang secara matematiknya menyaksikan tuan rumah Qatar sudah tersingkir daripada kejohanan.

Pemain Belanda, Cody Gakpo, (tengah) menanduk bola ke gawang Belanda. - Foto AP
Pemain Belanda, Cody Gakpo, (tengah) menanduk bola ke gawang Belanda. - Foto AP

Semalam, Qatar tewas buat kali kedua berturut-turut apabila diatasi 3-1 oleh Senegal dan tidak lagi berupaya untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua teratas kumpulan sebelum aksi terakhir mereka bertemu Belanda, Selasa ini.

Pada waktu sama, Ecuador dijadual bertemu Senegal yang bakal memperlihatkan satu mata sudah mencukupi buat mereka untuk mara ke pusingan seterusnya, namun sekiranya pasukan dari Afrika itumeraih kemenangan, mereka akan ditunjuk jalan keluar.

"Kami tidak menang kerana tidak berjaya mengambil peluang. Anda perlu memanfaatkan peluang untuk melakukan jaringan.

"Di situlah kekurangan kami . Namun saya berbangga dapat membimbing pemain muda ini, skuad berbakat. Kami bersedia untuk cabaran," kata pengendali Ecuador, Gustavo Alfaro.

Dalam pada itu, kapten Belanda, Virgil van Dijk berkata: "Mereka mampu memberi saingan. Kualiti mereka bukanlah berkelas dunia tetapi mereka tahu bagaimana untuk mendapatkan bola." - AGENSI

Penyerang Ecuador, Kevin Rodriguez (kiri) dihalang pertahanan dan kapten Belanda, Virgil van Dijk. - Foto AFP
Penyerang Ecuador, Kevin Rodriguez (kiri) dihalang pertahanan dan kapten Belanda, Virgil van Dijk. - Foto AFP

Berita Harian X