DOHA: Tuan rumah Qatar berada di ambang penyingkiran daripada Piala Dunia selepas kecundang di tangan Senegal 3-1.
Jaringan di kedua-dua babak dari Boulaye Dia dan Famara Diedhiou meletak Senegal di depan sebelum pemain gantian Qatar, Mohammed Muntari meledak jaringan pada minit ke-78 yang membuatkan saingan bertambah dramatik.
Enam minit kemudian, pemain gantian Senegal, Bamba Dieng menjaringkan gol sekali gus meletakkan mereka kembali berada di landasan selepas tewas 2-0 di tangan Belanda dalam saingan Kumpulan A sebelum ini.
Daripada sudut berbeza, kekalahan diraih Qatar membuatkan mereka resah, apatah lagi semakin hampir mengekori jejak Afrika Selatan pada tahun 2010 sekali gus menjadi pasukan tuan rumah kedua tersingkir di pusingan pertama.
Penyingkiran ini secara matematiknya sah sekiranya Ecuador gagal menewaskan Belanda dan ia bakal menjadikan Qatar menjadi pasukan tuan rumah Piala Dunia pertama ditunjuk jalan keluar selepas dua perlawanan.
"Hari ini kami menunjukkan kemampuan kami. Kami kompetitif dan bermain dengan baik. Apa yang jelas, keputusan adalah petunjuknya tetapi kami mempamerkan prestasi lebih baik.
"Kami harus bersedia untuk bertemu Belanda. Kami tahu, ia akan menjadi perlawanan yang lebih sukar apabila bertemu mereka," kata pengendali Qatar, Felix Sanchez.
Qatar dijadual bertemu Belanda pada Selasa ini. - AFP