DOHA: Seorang pemuda dari Kenya menjadi tumpuan peminat pada Piala Dunia Qatar 2022 susulan cara kreatifnya menunjukkan arah ke stesen metro di Doha.
Abubakr Abbass yang berusia 23 tahun kini menjadi sensasi media sosial dalam sekelip mata.
Sambil duduk di atas kerusi pengadil tenis dan memegang 'foam finger' besar, dia membimbing ratusan peminat yang melawat pasar bersejarah Souq Waqif ke stesen metro berdekatan dengan menggunakan megafon.
Kata-katanya yang amat berguna, "Metro? Ikut sini. Metro? Ikut sini," kini menjadi frasa yang terkenal dan ikutan ramai peminat dari seluruh dunia yang membanjiri negara Teluk itu untuk menonton aksi Piala Dunia.
"Kami sayang dia, kami suka Metro Man," kata seorang peminat sambil menunjuk ke arah Abubakr.
"Saya lihat dia di TikTok. Saya fikir ia amat melucukan. Dia membuatkan saya tertawa, ia hanya satu tugas yang mudah," kata seorang penyokong muda yang menyarung jersi bola sepak Chelsea.
Pengunjung pasar popular Souq Waqif sering kali berinteraksi dengan Abubakr selain melakukan adegan seperti pantomin.
Tidak banyak diketahui mengenai Abubakr tetapi bintang media sosial misteri itu mendapat pujian kerana mencetus suasana ceria dan kegembiraan sekalipun dia hanya melakukan tugas yang biasa-biasa saja.
"Dia benar-benar seronok dengan tugasnya," kata seorang peminat yang kagum.
Abubakr juga mencetus inspirasi kepada pekerja lain untuk turut serta dalam keseronokan itu, dengan ramai daripada mereka kini memakai 'foam finger' besar dan menunjukkan arah kepada peminat dengan cara yang kreatif.