Jumaat, 25 November 2022 | 6:32pm
Jurulatih JDT, Hector Bidoglio pada sidang media final Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA
Jurulatih JDT, Hector Bidoglio pada sidang media final Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA

JDT mahu cipta sejarah rangkul empat piala semusim

KUALA LUMPUR: Mencipta sejarah memenangi kejuaraan trebel buat kali pertama menjadi sasaran utama Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila turun berdepan Selangor dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Seandainya berjaya menjinakkan Gergasi Merah, skuad Harimau Selatan juga akan menjadi pasukan pertama menjulang empat trofi dalam satu musim termasuk Piala Sumbangsih.

Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui memikul tanggungjawab besar untuk melakar sejarah buat juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.

"Ia sangat penting kepada JDT, untuk bos, pemain dan staf bagi memenangi empat piala dalam satu musim dan ia sangat sukar.

"Namun ia tanggungjawab saya dan kami mahu melakukannya. Kami akan memberikan segala-galanya di atas padang untuk memenangi trofi," katanya pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Bagi musim ini, selain Piala Sumbangsih, JDT turut mempertahankan kejuaraan Liga Super yang dimenangi sejak 2014 dan memenangi Piala FA sekali gus menjadi musim paling cemerlang buat Harimau Selatan.

Ketika ini, hanya tinggal Piala Malaysia sahaja untuk mereka melengkapkan kejuaraan berganda sekali gus menyapu bersih semua kejuaraan dalam saingan domestik selepas trofi Liga Perdana dimenangi pasukan 'adik', JDT II.

Selain itu, Bidoglio bagaimanapun tetap menjangkakan pasukannya bakal berdepan tentangan sengit daripada Selangor yang dilihat mempamerkan prestasi lebih baik di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

"Selangor pasukan yang kuat terutama di bahagian pertahanan dan semasa situasi bola mati. Mereka juga meledak tiga gol pada separuh akhir dan kami kami sedar ia akan menjadi perlawanan yang sukar.

"Untuk memenangi aksi final kami mesti hadir dengan mood yang baik. Jadi itulah yang kami akan tampilkan pada perlawanan malam esok," katanya.

Berita Harian X