DOHA: Olivier Giroud berusaha untuk muncul penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Perancis apabila mereka berdepan Denmark dalam Kumpulan D Piala Dunia malam esok (12 tengah malam), ketika Les Bleus mengintai kemenangan yang membolehkan mereka layak ke pusingan 16 terakhir berbaki satu perlawanan di Qatar.
Giroud menyamai rekod Thierry Henry dengan 51 gol selepas menjaringkan dua gol ketika menang 4-1 ke atas Australia Selasa lalu.
"Titi, saya akan mengatasi anda," kata Giroud secara berjenaka selepas perlawanan dengan Australia, yang mana dia mendapat manfaat susulan hantaran mengagumkan Kylian Mbappe.
Ketika juara bertahan itu membuka kempen dengan permulaan meyakinkan, mereka tidak boleh terlalu berpuas hati apabila menentang Denmark.
Pasukan kendalian Didier Deschamps tewas dalam dua pertemuan terakhir menentang Denmark dalam Liga Negara Eropah.
Penyerang Mbappe, Giroud, Antoine Griezmann dan Ousmane Dembele semuanya bermula menentang Australia namun Deschamps mungkin mengambil pendekatan lebih berhati-hati menjelang aksi malam esok.
"Kita sudah lihat tiada pasukan kerdil dalam bola sepak moden. Ia terbukti ketika menentang Denmark," kata Dembele, yang masih dihantui dua kekalahan terakhir menentang pasukan Nordic itu.
Di pertahanan tengah, Deschamps mungkin memanggil pemain berpengalaman Raphael Varane ketika dia semakin pulih daripada kecederaan pangkal paha manakala Theo Hernandez bermula di pertahanan kiri selepas abangnya Lucas diketepikan daripada baki kejohanan itu kerana kecederaan lutut.
Denmark terikat tanpa jaringan menentang Tunisia pada aksi pertama mereka dan pengurus Kasper Hjulmand berkata, mereka perlu meningkatkan tempo menentang Perancis.
"Jika anda tidak pantas menentang Perancis, anda mungkin berdepan masalah... kami perlu bangkit tetapi kami sedia melakukannya," kata Hjulmand kepada pemberita.
Kapten Denmark, Simon Kjaer yang beraksi bersama Giroud di kelab Serie A Itali, AC Milan diberikan tugas untuk mengekang penyerang Perancis itu.
"Saya mendoakan yang terbaik buat Ollie, tetapi harapnya saya mempunyai kelebihan," katanya. "Pada pendapat saya, Ollie salah seorang penyerang berbahaya apabila berada dalam kotak penalti, mungkin dia dipandang remeh sebagai seorang penyerang."
Denmark kehilangan khidmat pemain tengah Thomas Delaney, yang mengalami kecederaan lutut pada babak pertama menentang Tunisia dan terpaksa diketepikan bagi baki kejohanan itu. – REUTERS