DOHA: Kemunculan semula Son Heung-min tidak dapat memberikan inspirasi kepada Korea Selatan apabila pasukan Harimau Asia itu terikat 0-0 dalam kempen Kumpulan H Piala Dunia dengan Uruguay.
Kapten Uruguay, Diego Godin dan pemain tengah Real Madrid, Federico Valverde hampir memecahkan kebuntuan jaringan namun percubaan mereka terkena tiang di kedua-dua babak perlawanan manakala Hwang Ui-jo melepaskan peluang terbaik Korea Selatan menerusi rembatannya yang tersasar keluar.
Peluang nyata kurang bukan saja buat pasukan disertai Heung-min tetapi juga Uruguay yang turut disertai penyerang berbisa seperti Luis Suarez, Darwin Nunez dan Edinson Cavani itu.
Begitupun kedua-dua jurulatih berpuas hati dengan satu mata yang diraih pasukan.
"Ini adalah perlawanan yang sangat bagus buat kami, kami bermain dengan baik di babak pertama, ada banyak waktu di mana kami mengawal permainan.
"Selepas babak pertama, kami tidak berada di tahap terbaik, kami sedikit menurun kerana mereka mempunyai pemain berkualiti tinggi tetapi kami juga dapat melakukan yang terbaik dalam situasi itu," kata pengendali Korea Selatan dari Portugal, Paulo Bento.
Dalam pada itu, Diego Alonso yang mengendali Uruguay berkata: "Ia satu perlawanan yang baik, sengit dengan kedua-dua negara menunjukkan saingan kompetitif. Pada babak pertama, terutama pada 20 minit awal, kami sedikit bergelut.
"Namun ia sesuatu yang baik apabila kami dapat mengatasi masalah itu dan menguasai babak kedua."
Bayangan jaringan awal Uruguay hadir pada minit ke-19 menerusi Federico Valderde, yang menerima hantaran Jose Maria Gimenez sebelum melakukan percubaan ke arah gawang gol namun ia tersasar.
Korea Selatan pula sepatutnya mendahului perlawanan pada minit ke-34 ketika Moon-hwan Kim melakukan lorongan ke dalam kotak penalti kepada Hwang, namun percubaan penyerang itu melepasi gawang. - AFP