DOHA: Ecuador dan Belanda sasar mengorak langkah besar ke pusingan kedua Piala Dunia apabila bakal bertembung dalam aksi Kumpulan A di Stadium Antarabangsa Khalifa, tengah malam esok waktu Malaysia.
Walaupun Ecuador menetapkan sasaran mara ke pusingan 16, seperti dilakukan di Jerman pada 2006, Belanda pula mencari prestasi lebih baik untuk merealisasikan harapan jurulatihnya, Louis van Gaal bahawa mereka boleh bersaing dan memenangi Piala Dunia.
Belanda menampilkan aksi di bawah prestasi terbaik mereka ketika menewaskan juara Afrika, Senegal 2-0 dalam perlawanan pembukaan kumpulan, Selasa lalu.
Van Gaal berpuas hati dengan tiga mata dan mempertahankan keputusan mengejut menurunkan penjaga gol Andries Noppert dalam penampilan antarabangsa pertama, namun senada dengan kapten Virgil van Dijk yang mengkritik cara kemenangan yang mereka peroleh.
"Kami menang tetapi kami juga sedar bahawa kami boleh dan perlu melakukan lebih baik," kata kapten itu.
"Apabila berusaha keras, kadang-kadang kami cuba memaksa sesuatu, dan kami terlalu kerap membiarkan diri kami terdedah kepada serangan balas Senegal.
"Ia aspek yang perlu kami perbaiki kerana corak permainan lawan kami seterusnya, Ecuador, sangat bagus. Namun, saya optimis kerana saya berasa kami akan menjadi lebih baik," kata Van Dijk.
Sementara itu, Ecuador yakin Enner Valencia, yang meledak kedua-dua gol ketika menang 2-0 ke atas tuan rumah, Qatar, Isnin lalu akan cergas untuk bermain walaupun terdapat kebimbangan mengenai kecederaan lututnya.
Penjaga gol, Hernan Galindez berkata, kemenangan mengejut Arab Saudi ke atas Argentina membuktikan tiada pasukan yang tidak dapat dikalahkan.
"Saya fikir kekalahan Argentina bukan kejutan terakhir di Piala Dunia ini," katanya. "Walaupun Belanda menang, prestasi mereka seimbang menentang Senegal. Sudah tentu ada cara untuk mengalahkan Belanda.
"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar, tetapi saya menjangkakan Belanda akan menghormati kami."
- REUTERS