DOHA: Jepun menewaskan Jerman 2-1 pada perlawanan pembukaan Piala Dunia mereka, sekali gus 'menghukum' juara empat kali itu kerana tidak mengambil peluang pada babak pertama.
Pasukan Jerman menutup mulut mereka pada sesi bergambar pasukan sebelum perlawanan bagi menunjukkan protes terhadap keputusan FIFA yang melarang pemakaian lilitan bertema pelangi.
Jerman tiba di Qatar dengan membawa tekanan besar untuk mengelak 'detik hitam' pada 2018 yang menyaksikan mereka terkandas di peringkat kumpulan di Russia.
Anak buah kendalian Hansi Flick mendahului permainan menerusi jaringan sepakan penalti pada babak pertama menerusi Ilkay Gundogan dan sepatutnya mampu menguasai perlawanan selepas mencipta banyak peluang berharga.
Namun, Jepun mampu bertahan dengan baik sebelum menjaringkan gol penyamaan menerusi pemain gantiannya, Ritsu Doan pada minit ke-75, disusuli jaringan Takuma Asano lapan minit kemudian.
Lebih menarik, kedua-dua pemain itu beraksi di saingan Bundesliga.
"Pemain menunjukkan mereka adalah sebuah pasukan, kami bersiap sedia dengan baik dan kami bertahan, itu adalah tindakan yang menjurus kepada kemenangan," kata pengurus Jepun, Hajime Moriyasu.
"Ramai penyokong kami hadir ke Doha dan mereka yang memberikan dorongan kekuatan kepada kami. Saya mahu mengekalkan tahap ini dan lihat apakah yang kami mampu lakukan dengan lebih baik lagi selepas ini dan cuba memenangi perlawanan seterusnya," katanya.
Masa depan Jerman di Piala Dunia sekali lagi dipertaruhkan dalam perlawanan Kumpulan E akan datang bertemu Sepanyol dan Costa Rica.
"Kami menjadikan perlawanan ini begitu mudah untuk Jepun. Saya tidak tahu sekiranya gol lebih mudah pernah dijaringkan di Piala Dunia.
"Sepatutnya ia tidak berlaku terhadap kami," kata Gundogan - AFP