Rabu, 23 November 2022 | 6:48pm
Senarai 29 pemain yang dipanggil jalani latihan pusat hadapi aksi persahabatan dan Piala AFF bulan depan.
Senarai 29 pemain yang dipanggil jalani latihan pusat hadapi aksi persahabatan dan Piala AFF bulan depan.

Harimau Malaya 'hilang' 12 tonggak hadapi Piala AFF

[email protected]

KUALA LUMPUR: Skuad kebangsaan 'kehilangan' 12 pemain bagi menghadapi dua aksi persahabatan Tier 1 dan Piala AFF 2022 susulan urusan peribadi, komitmen keluarga dan masalah kecederaan.

Sebelas daripada 12 pemain terbabit daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Shahrul Saad, Corbin Ong, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Hanafi, Akhyar Rashid, Matthew Davies, Syafiq Ahmad, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Shio Hong Wan dan Natxo Insa.

Seorang lagi pemain yang tidak dapat menyahut panggilan ialah Nor Azam Azih dari pasukan Sri Pahang FC.

Menerusi satu kenyataan media dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), 11 pemain terbabit daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan seorang dari Sri Pahang FC (SPFC).

Situasi terbabit menyaksikan baki 29 pemain daripada senarai penuh 41 pemain akan menyertai kem latihan pusat bermula 29 November dan pemain yang beraksi di final Piala Malaysia boleh melapor diri pada 5 Disember.

"Ia berdasarkan Peraturan Status Perpindahan Pemain Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA); Lampiran 1: Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6 yang menyatakan bahawa kelab tidak diwajibkan untuk melepaskan pemain di luar jendela antarabangsa atau pertandingan dan tidak wajib melepaskan pemain yang sama untuk lebih dari satu perlawanan akhir pasukan wakil 'A' setiap tahun di mana pengecualian kepada peraturan ini boleh ditetapkan oleh Majlis FIFA bagi Piala Konfederasi FIFA sahaja.

"Sebagai menghormati Peraturan Persekutuan Bolasepak Malaysia (FIFA), 12 pemain terbabit tidak akan disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

"FAM mengucapkan terima kasih kepada pemain yang sudi menerima panggilan skuad kebangsaan bagi kem latihan kali ini, biarpun ia di luar jendela FIFA dan pada penghujung musim bola sepak yang panjang di mana ia adalah masa untuk bersama keluarga.

"FAM juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kelab yang terlibat atas kelulusan mereka untuk melepaskan pemain masing-masing, sekali gus memberi peluang kepada pemain terbabit menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 ini," kata badan induk itu.

Tujuh pemain pula diletakkan dalam Senarai Bersedia sekiranya terdapat perubahan dalam senarai nama 29 pemain di atas atas sebab-sebab tertentu atau kecederaan.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kemboja pada 9 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi kedua pada 14 Disember di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Seterusnya, jurulatih, Kim Pan Gon akan menamakan senarai akhir 23 pemain ke Piala MAFF 2022 yang mana bagi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember, Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari.

Berita Harian X