DOHA: Korea Selatan menanti dengan penuh debaran sama ada kapten mereka Son Heung-min dapat diturunkan pada aksi penting ketika gergasi Asia itu memulakan kempen Piala Dunia menentang Uruguay, Khamis ini.
Penyerang Tottenham Hotspur itu mengalami kecederaan di bahagian mata kiri tiga minggu lalu dan menjalani latihan di Qatar dengan memakai topeng pelindung muka seakan watak 'Zorro'.
Kumpulan H turut membabitkan Portugal dan Ghana sekali gus khidmat Heung-min sangat diperlukan di bahagian serangan untuk Korea mengutip mata awal.
Jurulatih Korea Selatan, Paulo Bento sudah memberi arahan kepada pasukan bagi membincangkan keadaan Heung-min dalam persediaan Piala Dunia sekali gus berharap barisan pertahanan pasukan dapat menyekat serangan pasukan lawan.
"Kami harus memeriksa dan melakukan analisis hari demi hari, biarkan dia datang," kata Bento menjelang aksi di Qatar.
"Kami mempunyai masa untuk membuat keputusan yang tepat dan tindakan terbaik untuk keseluruhan pasukan kami."
Heung-min bersemangat untuk beraksi disebalik risiko kecederaannya akan menjadi lebih buruk tetapi menegaskan dia sudah bersedia untuk berdepan cabaran di Qatar.
Uruguay sekali lagi dilabelkan 'kuda hitam' dalam kejohanan, dengan pasukan dibarisi kombinasi berusia 35 tahun ke bawah serta bakat muda yang teruja menyertai Piala Dunia buat kali pertama.
Ia termasuk pemain yang mencipta rekod perpindahan di Liverpool, Darwin Nunez, yang dijangka bergandingan bersama pemain veteran Luis Suarez yang menjadi tonggak utama ketika kemaraan Uruguay ke separuh akhir di Piala Dunia 2010.
Nunez, 23, 12 tahun lebih muda daripada Suarez dan rakan penyerang Edinson Cavani, yang beraksi untuk Piala Dunia keempat mereka begitu juga kapten dan pemain yang paling banyak kaps penampilan bersama skuad kebangsaan itu, Diego Godin.
Antara 13 pemain yang membuat penampilan sulung adalah pemain tengah serba boleh Real Madrid, Federico Valverde dan pemain Manchester United, Facundo Pellistri yang turut dikaitkan bakal bergandingan dengan pemain Tottenham yang berada di prestasi terbaik Rodrigo Bentancur di jentera tengah.
Jurulatihnya, Diego Alonso berkata jarak usia bagi pemain berpengalaman bukan masalah besar buatnya dan percaya Uruguay berpeluang memenangi Piala Dunia, sama seperti ketika mereka melakukannya pada 1930 dan 1950. - REUTERS