DOHA: Jurulatih Australia, Graham Arnold mengakui Perancis adalah pasukan yang sukar untuk ditewaskan selepas Socceroos tewas 1-4 di tangan juara bertahan itu pada aksi pembukaan Piala Dunia, awal pagi tadi.
"Pada akhirnya, Perancis adalah pasukan yang sangat berkualiti," kata Arnold ketika diminta mengulas mengenai kekalahan Australia dalam aksi Kumpulan D di Stadium Al Janoub itu.
"Ada sebab mereka menjadi juara dunia sebelum ini. Saya fikir kami bermula dengan baik tetapi secara fizikal mereka jauh lebih besar, lebih pantas dan lebih kuat daripada kami hari ini.
"Secara keseluruhannya, pemain sudah melakukan segala yang mereka mampu dan itu sahaja yang boleh saya minta."
Perancis memerlukan gol sendiri pihak lawan pada lewat permainan ketika menewaskan Australia dalam aksi pembukaan kempen Piala Dunia 2018 tetapi Socceroos menyerlahkan potensi untuk mencipta kejutan kali ini apabila berjaya mendahului perlawanan.
Craig Goodwin yang disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Martin Boyle yang cedera meletakkan Australia di depan selepas menyudahkan hantaran Mathew Leckie.
Bagaimanapun, Perancis menyamakan kedudukan menerusi tandukan Adrien Rabiot yang kemudian membuat hantaran kepada jaringan Olivier Giroud untuk mereka mendahului 2-1 sebelum rehat.
Tandukan Kylian Mbappe pada minit ke-68 disusuli jaringan minit ke-51 oleh Giroud memastikan kemenangan buat Les Bleus dalam perlawanan itu.
Ia adalah perlawanan yang sukar buat beberapa pemain Australia, antaranya pertahanan kanan, Nathaniel Atkinson yang berdepan kesukaran untuk merantai pergerakan Mbappe.
"Saya fikir dia sudah bermain dengan baik. Dia melakukan yang terbaik berdepan dengan salah seorang pemain terbaik di dunia.
"Namun, bagaimana kamu menghentikan pemain sangat pantas? Ia sesuatu yang sukar. "Ia adalah pengajaran berguna buat dirinya dan saya percaya dia akan memperbaiki kelemahannya," kata Arnold.
Anak buah Arnold selepas ini akan berdepan Tunisia yang terikat tanpa jaringan dengan Denmark dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, Sabtu ini. - AFP