Selasa, 22 November 2022 | 2:30pm
Nico Williams (kiri) beraksi bersama Sepanyol, manakala abangnya, Inaki beraksi bersama Ghana pada aksi Piala Dunia di Qatar.
Nico Williams (kiri) beraksi bersama Sepanyol, manakala abangnya, Inaki beraksi bersama Ghana pada aksi Piala Dunia di Qatar.

Dua beradik wakili pasukan berbeza di Qatar

DOHA: Pemain sayap Sepanyol, Nico Williams mahu membawa perseteruan 'adik-beradik' dengan abangnya yang juga penyerang Ghana, Inaki Williams ke tahap yang lebih tinggi.

Kedua-duanya adalah rakan sepasukan di Athletic Bilbao tetapi Nico yang berusia 20 tahun berharap dapat menentang antara satu sama lain di Piala Dunia Qatar.

Mereka berdua berjaya menjaringkan gol buat Athletic buat kali pertama pada September lalu dan berpotensi bertemu sebagai musuh bermula peringkat suku akhir.

Adik-beradik Williams akan menjadi pasangan kedua yang bertemu antara satu sama lain di Piala Dunia selepas Jerome dan Kevin-Prince Boateng melakukannya masing-masing bersama Jerman dan Ghana pada edisi 2010 serta 2014.

"Jika tanya saya, saya mahu berdepan Ghana," kata Nico kepada AFP di pusat latihan Sepanyol di University Qatar.

"Ia akan menjadi persaingan antara adik-beradik, kami sering melaluinya ketika zaman kanak-kanak dan saya berharap kali ini kami boleh melakukannya secara profesional."

Ikatan yang mendalam terjalin di antara kedua-dua pemain itu yang menyaksikan ibu bapa mereka mengharungi i perjalanan sejauh 4,000 kilometer dari Ghana ke Melilla, sebuah wilayah Sepanyol di utara Afrika.

Mereka berkaki ayam merentasi gurun Sahara, risiko yang mereka anggap wajar diambil untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Maria Williams, ibu mereka, mengandungkan Inaki ketika itu dan selepas dia dan bapa Felix Williams diberikan suaka di Bilbao, dia dilahirkan di sana pada tahun 1994.

Lapan tahun kemudian, Nico dilahirkan dan tahun ini dia mencipta sensasi dalam saingan liga Sepanyol.

Inaki yang disenaraikan skuad Sepanyol dalam perlawanan persahabatan kemudiannya memilih untuk beraksi bersama Ghana pada saingan antarabangsa manakala Nico meraih kap pertama di bawah Luis Enrique, September lalu.

Aksi cemerlang Nico terutama ketika membantu Sepanyol menewaskan Portugal untuk melangkah ke separuh akhir Liga Negara-negara membolehkan dia berada dalam senarai skuad Piala Dunia.

Nico memuji abangnya kerana sering memberikan peransang untuk dia beraksi di peringkat tertinggi dunia.

"Sentiasa," kata Nico, ketika ditanya sama ada Inaki ada memberikannya nasihat.

"Sebagai abang, dia perlu melakukannya dan saya sangat gembira dengan nasihatnya, saya lebih seronok bermain disebabkan perkara itu." - AFP

Berita Harian X