Selasa, 22 November 2022 | 4:23am
Pemain pertahanan Belanda, Virgil van Djik menanduk bola ketika diasak pemain Senegal dalam aksi Kumpulan A Piala Dunia 2022 di Stadium Al Thumama, Doha. Belanda menewaskan Senegal 2-0. - Foto AFP
Pemain pertahanan Belanda, Virgil van Djik menanduk bola ketika diasak pemain Senegal dalam aksi Kumpulan A Piala Dunia 2022 di Stadium Al Thumama, Doha. Belanda menewaskan Senegal 2-0. - Foto AFP

Belanda perlu perbaiki permainan

DOHA: Kapten Belanda, Virgil van Dijk mengakui pasukannya masih mempunyai ruang peningkatan meskipun membuka tirai kempen Piala Dunia dengan meraih kemenangan 2-0 ke atas juara Afrika, Senegal.

"Kami menang, tetapi dalam pada itu juga sedar pasukan boleh dan perlu melakukan sesuatu yang lebih baik lagi," kata Van Dijk selepas Belanda meraih jaringan lewat perlawanan menerusi penyerang PSV Eindhoven, Cody Gakpo dan pemain tengah, Davy Klaassen.

Skuad The Oranje kini mendahului Kumpulan A selepas kemenangan di Stadium Al Thumama.

"Ketika menyerang kami kadangkala cuba melakukan sesuatu dan kami terlalu membiarkan diri kami terdedah dengan serangan balas Senegal.

"Itu adalah sudut yang perlu diperbaiki kerana ia adalah kelebihan dimiliki lawan selepas ini, Ecuador.

"Namun, saya optimis kami akan menjadi lebih baik selepas ini," kata Van Dijk.

Belanda kini menyamai tiga mata dalam Kumpulan A selepas Ecuador menewaskan tuan rumah Qatar 2-0 pada perlawanan pembukaan.

Van Dijk yang juga bintang Liverpool membuat penampilan sulungnya di kejohanan utama, manakala jurulatih pasukan, Louis van Gaal memberikan cap pertama kepada penjaga gol Andries Noppert.

"Ia adalah impian saya sejak kecil untuk bermain dalam kejohanan Piala Dunia, tetapi saya tidak fikir ia menjadi realiti," kata Noppert.

"Ia sesuatu yang istimewa apabila jurulatih penjaga gol, Frans Hoek pada Jumaat lalu memberitahu saya akan disenaraikan. Semakin hampir hari perlawanan, debaran semakin bertambah tetapi ia sesuatu yang baik.

"Malah, dalam bola sepak di saingan kelab saya tidak pernah beraksi di peringkat antarabangsa tetapi kamu akan memiliki peluang itu apabila tiba masanya," katanya. - AFP

Berita Harian X