Selasa, 22 November 2022 | 2:06am
Pengurus England, Gareth Southgate. - Foto Reuters
Pengurus England, Gareth Southgate. - Foto Reuters

England harus tingkatkan lagi prestasi - Southgate

DOHA: Pengurus England, Gareth Southgate menegaskan pasukan itu masih mempunyai ruang untuk meningkatkan lagi prestasi selepas memulakan kempen Piala Dunia dengan membenam Iran 6-2.

Pasukan The Three Lions berjaya 'merobek' Iran, sekali gus melenyapkan kritikan terhadap pengendali itu yang sebelum ini disifatkan terlalu berhati-hati dari segi taktikal.

Jude Bellingham, 19, membuka tirai jaringan perlawanan, manakala Bukayo Saka, 21, meledak dua gol sekali gus meletakkan barisan muda England berada dalam kelas tersendiri.

Saka adalah pemain termuda England yang meledak lebih daripada satu gol dalam perlawanan Piala Dunia. manakala Bellingham menjadi pemain kedua termuda skuad itu dalam sejarah kejohanan di belakang Michael Owen.

Selain dua pemain berkenaan, Raheem Sterling, Marcus Rashford dan Jack Grealish juga meledak jaringan buat England di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Di saat The Three Lions mencipta kejutan dalam pemburuan meraih trofi pertama mereka sejak Piala Dunia 1966, Southgate begitupun kecewa apabila pasukannya membenarkan pihak lawan melakukan jaringan.

Dengan ujian lebih sukar dalam Kumpulan B menentang Amerika Syarikat (AS) dan Wales selepas ini, Southgate menggesa pemainnya untuk terus mengekalkan fokus.

"Kami sangat gembira dengan permulaan ini. Kebiasaannya, Iran adalah pasukan yang sukar dibolosi, tetapi kredit kepada pemain kerana pergerakan dan kualiti dalam melakukan penyudah," kata Southgate.

"Saya tidak gembira dengan bagaimana kami menamatkan permainan, melepaskan dua gol. Kami perlu meraih sesuatu yang lebih baik ketika menentang AS kerana mereka akan memasuki padang dengan sepenuh semangat juang.

"Saya sedar fokus sedikit hilang, tetapi masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk melayakkan diri. Sudah tentu ia satu permulaan yang baik buat kami," katanya - AFP

Berita Harian X