Isnin, 21 November 2022 | 7:47pm
 Gambar fail - Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram. - Foto ihsan FB FAM.
Gambar fail - Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram. - Foto ihsan FB FAM.

FAM ambil langkah waspada laksana VAR

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah lebih berhati-hati dalam usaha memperkenalkan teknologi video bantuan pengadil (VAR) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M).

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata pihaknya akan melakukan perbincangan bersama penyedia perkhidmatan teknologi itu terlebih dahulu sebelum duduk semeja dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, proses untuk menggunakan VAR memerlukan perancangan sistematik termasuk menghantar pengadil menjalani kursus berkaitan teknologi berkenaan.

"Kami perlu berbincang terlebih dahulu dengan service provider (penyedia perkhidmatan) sebelum mengadakan perbincangan bersama MFL. Jangkaan penggunaan teknologi terbabit adalah pada tahun depan iaitu mungkin pada final Piala FA atau Piala Malaysia.

"Perkara itu harus melalui prosesnya kerana pengadil juga perlu menjalani kursus selama enam hingga sembilan bulan,"katanya.

FAM selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu pada 7 November lalu menjelaskan penelitian sedang dilakukan bagi menggunakan VAR untuk aksi Piala FA dan Piala Malaysia tahun depan.

Selain itu, Sivasundaram berkata tiada penggunaan VAR pada final Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Berita Harian X