DOHA: Denmark menaruh harapan tinggi untuk meneruskan kisah kegembiraan mereka di Piala Dunia selepas mengharungi tragedi yang mendebarkan, tahun lalu.
Chrsitian Eriksen dijangka berada dalam kesebelasan utama Denmark pada aksi pertama Kumpulan D menentang Tunisia, malam esok sekali gus melengkapkan kebangkitan luar biasa pemain itu yang hampir maut di atas padang untuk sekali lagi menjadi tonggak utama pasukan yang dijangka mampu melangkah jauh di Qatar.
Tahun lalu, Eriksen hampir kehilangan nyawanya selepas secara tiba-tiba rebah di atas padang akibat serangan jantung ketika saingan EURO 2020.
"Saya gembira dapat kembali beraksi. Seperti kita semua tahu, ia adalah sesuatu yang amat istimewa dapat beraksi di Piala Dunia.
"Saya bernasib baik kerana pernah beraksi dalam satu atau dua perlawanan sebelum ini tetapi ia masih lagi istimewa.
"Sejauh mana kami mampu melangkah? Saya fikir kami mengimpikan sesuatu yang besar tetapi akhirnya kami perlu sampai ke sana terlebih dahulu. Kami akan fokus kepada setiap perlawanan terlebih dahulu," kata Eriksen.
Pengalaman melihat Eriksen tumbang dalam perlawanan kumpulan pertama saingan EURO menentang Finland tahun lalu menyaksikan hubungan setiap pemain semakin rapat sehingga berjaya mara ke separuh akhir.
Denmark mengambil semangat daripada kejayaan itu dengan aksi konsisten sepanjang tahun ini apabila memenangi hampir semua perlawanan aksi kelayakan Piala Dunia dan menewaskan Perancis dua kali dalam saingan kumpulan Liga Negara-Negara.
"Banyak perkara berlaku pada 2021, bukan hanya EURO," kata jurulatih Kasper Hjulmand dalam temu bual dengan World Soccer baru-baru ini. - AFP