AL KHOR, Qatar: Pengendali Qatar, Felix Sanchez berkata, pasukannya masih merasai sokongan peminat walaupun ribuan penyokong beredar selepas tuan rumah Piala Dunia itu ketinggalan 2-0 kepada Ecuador pada aksi pembukaan di Stadium Al Bayt.
Skuad kendalian Sanchez dihukum di atas kegugupan mereka pada babak pertama di mana kapten Ecuador, Enner Sanchez meledak dua gol, termasuk satu sepakan penalti.
Kekalahan itu menyaksikan Qatar menjadi tuan rumah pertama yang tewas pada perlawanan pembukaan dalam sejarah 92 tahun kejohanan berkenaan.
"Kami merasai sokongannya. Saya harap penyokong akan lebih berbangga pada perlawanan seterusnya. Mereka sedar kami mampu lakukan lebih baik.
"Kami sedar perkara seperti ini akan berlaku, kami akan belajar daripada kesilapan.
"Perasaan gugup menghukum kami, kami bermula dengan teruk. Kami tidak dapat melakukan hantaran dengan betul.
"Pertahanan juga longgar. Pasukan tidak seimbang dan ia menyukarkan kami. Apabila anda bermain dengan pasukan pada tahap ini, anda akan menerima padah," kata Sanchez.
Qatar akan bertemu Senegal untuk perlawanan seterusnya dalam Kumpulan A Jumaat ini. - AFP