AL KHOR, Qatar: Piala Dunia 2022 menyingkap tirainya di Qatar hari ini, selepas pelbagai kritikan dan rintangan dihadapi negara Teluk itu menjelang kejohanan berkenaan.
Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, tiba di stadium diiringi presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino dan disambut meriah penonton yang memenuhi stadium Al Bayt.
"Dari Qatar, dari dunia Arab, saya mengalu-alukan kedatangan semua orang ke Piala Dunia 2022.
"Betapa indahnya semua orang dapat mengetepikan perbezaan bagi meraikan apa yang menyatukan kita semua," kata Sheikh Tamim.
Majlis pembukaan Piala Dunia dimulakan dengan persembahan yang menampilkan pelakon terkenal Morgan Freeman, dan lagu tema kejohanan berjudul Dreamers yang dinyanyikan bintang K-Pop, Jungkook dari kumpulan BTS, bersama penyanyi Qatar, Fahad Al-Kubaisi.
Putera Mahkota Arab Saudi dan presiden Mesir, Turki serta Algeria, antara pemimpin yang hadir menyaksikan acara pembukaan sebelum perlawanan pertama antara tuan rumah dan Ecuador.
Majlis pembukaan Piala Dunia 2022
Kejohanan yang buat julung kalinya diadakan di Timur Tengah itu mencatat perbelanjaan paling tinggi dalam sejarah.
Buat pertama kali juga penerbangan dari Tel Aviv dibenarkan mendarat di Doha bagi memberi peluang buat rakyat Palestin dan Israel menyaksikan Piala Dunia kali ini. - REUTERS