Ahad, 20 November 2022 | 10:21pm
Pemain JDT, Bergson da Silva (kiri) meraikan jaringan bersama Arif Aiman Hanapi ketika menentang pasukan Sabah FC pada perlawanan Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA

JDT melangkah ke final Piala Malaysia

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) melangkah ke final dua musim berturut-turut selepas menewaskan Sabah FC 3-1 pada aksi timbal balik separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Dengan kemenangan agregat 4-1, JDT selaku naib juara musim lalu akan bertemu sama ada Selangor FC atau Terengganu FC pada aksi final yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Tanpa kelibat Feroz Baharuddin dan Leandro Velazquez yang digantung satu perlawanan, pengendali JDT, Hector Bidoglio menyenaraikan Jordi Amat dan Nazmi Faiz Mansor bagi mengimbangi kekuatan pasukan itu mengharungi 90 minit perlawanan.

Sebaik babak pertama bermula, JDT yang membawa bekalan kemenangan 1-0 ke atas skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee, mula mengasak ke kubu skuad The Rhinos dan hampir mencipta jaringan seawal minit kelima apabila Bergson Da Silva berjaya melepasi kawalan pertahanan pelawat tetapi penjaga gol, Damien Lim sempat menghalang bola rembatan Bergson.

Memasuki minit ke-35, usaha berterusan skuad Harimau Selatan untuk memecah kebuntuan jaringan membuahkan hasil selepas hantaran lintang Corbin Ong disempurnakan Bergson.

Pemain JDT, Arif Aiman Hanapi dicabar pemain pertahanan Sabah FC, Gerald Gadit pada perlawanan Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA
Pemain JDT, Arif Aiman Hanapi dicabar pemain pertahanan Sabah FC, Gerald Gadit pada perlawanan Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA

Pemain Sabah FC, Muhammad Farhan Roslan terjatuh ketika diasak pemain JDT, Fernando Forestieri pada perlawanan Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA
Pemain Sabah FC, Muhammad Farhan Roslan terjatuh ketika diasak pemain JDT, Fernando Forestieri pada perlawanan Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA

Anak didik Bidoglio menambah derita skuad The Rhinos pada minit ke-41 selepas bola hantaran Nazmi Faiz ditampan kemas Arif Aiman Hanapi yang berada di dalam kotak penalti dan membiarkan Fernando Forestieri merembat bola menewaskan Damien untuk meletak JDT selesa dengan kedudukan 2-0.

Bersambung babak kedua, skuad The Rhinos berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-47 apabila bola rembatan dari jarak 25 meter Park Tae-su gagal ditangkap kemas penjaga gol, Farizal Marlias dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Taiki Kagayama.

Pemain JDT, Bergson da Silva dihalang dua pemain pertahanan Sabah FC, Rawilson Batul dan Gerald Gadit pada perlawanan Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA
Pemain JDT, Bergson da Silva dihalang dua pemain pertahanan Sabah FC, Rawilson Batul dan Gerald Gadit pada perlawanan Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA

Ketika aksi berbaki seminit, JDT diberikan sepakan penalti oleh pengadil, Nazmi Nasaruddin selepas pemain gantian, Akhyar Rashid dikasari Gerald Gadit di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, seorang lagi pemain gantian, Safawi Rasid gagal menyempurnakan sepakan berkenaan.

Pemain gantian, Syafiq Ahmad menebus kehampaan itu apabila menjaringkan gol bagi memastikan kemenangan 3-1 memihak skuad Harimau Selatan.

Berita Harian X