DOHA: Aliou Cisse berjanji Senegal "akan membuat impak" pada Piala Dunia ketika mereka mahu meneruskan rekod sempurna pada perlawanan pembukaan kejohanan itu apabila berdepan pasukan pilihan Belanda di Stadium Al Thumama, Selasa ini.
Juara Afrika itu menang dua aksi pembukaan mereka - kemenangan mengejut 1-0 ke atas penyandang juara dunia Perancis pada 2002 dan 2-1 mengatasi Poland pada 2018.
Senegal layak ke suku akhir 20 tahun lalu, namun tersingkir pada peringkat kumpulan pada edisi terakhir dan ketua jurulatih Cisse berharap ia berubah kali ini sekalipun mereka tidak mendapat khidmat penyerang utama Sadio Mane yang mengalami kecederaan kaki.
"Sasarannya adalah untuk melepasi kumpulan ini. Kami akan membuat impak. Pasukan lain sudah mengintai mengenai peluang ke pusingan 16 terakhir, suku akhir, tetapi kami akan mengharunginya satu perlawanan demi satu perlawanan," katanya.
"Kami tidak akan terbawa-bawa. Terpulang kepada kami untuk bersedia sebaik mungkin dan bertindak cemerlang. Kami tersingkir pada Piala Dunia lalu selepas hanya tiga perlawanan."
Senegal mengalahkan Mesir Februari lalu untuk memenangi kejuaraan sulung Piala Negara Afrika sebelum menundukkan pasukan sama bulan berikutnya pada playoff kelayakan Piala Dunia untuk layak ke Qatar 2022. Pasukan kendalian Cisse menghuni ranking ke-18 dunia - 10 anak tangga di belakang Belanda.
Pasukan bergelar Lions of Teranga itu mungkin mempunyai rekod sempurna pada aksi pembukaan namun Belanda tidak kalah dalam lapan perlawanan pertama mereka sebelum ini, menang enam daripadanya.
Belanda kembali ke pentas dunia selepas gagal layak ke Russia 2018 dengan bos veteran Louis van Gaal kini kembali berkhidmat bagi tempoh ketiga.
Van Gaal, yang akan melepaskan jawatannya selepas kejohanan itu, mengakui pasukannya memerlukan lebih daripada sekadar bakat untuk mara jauh di Qatar dan menjulang trofi buat kali pertama.
"Saya tidak fikir kami memiliki pemain terbaik di dunia dalam pasukan kami," katanya. "Tetapi saya percaya dengan kekuatan sepasukan dan dari segi taktik. Saya percaya kami boleh pergi jauh.
"Tetapi kami juga memerlukan tuah, ia juga penting. Kerana itu dan kerana saya percaya dengan imaginasi, kami mungkin boleh muncul juara dunia pada hujung kejohanan ini nanti."
Aksi Kumpulan A di Stadium Al Thumama adalah pertembungan julung kali antara Senegal dan naib juara dunia tiga kali Belanda.
Belanda tidak kalah dalam empat perlawanan menentang lawan dari Afrika pada pusingan akhir, manakala Senegal menang dua dan seri sekali menentang pasukan Eropah di peringkat kumpulan.
BARISAN KEMUNGKINAN
Senegal (4-3-3)
Edouard Mendy; Youssouf Sabaly, Pape Abou Cisse, Kalidou Koulibaly (kapten), Fode Ballo-Toure; Cheikhou Kouyate, Nampalys Mendy, Idrissa Gueye; Ismaila Sarr, Boulaye Dia, Krepin Diatta.
Jurulatih: Alou Cisse.
Belanda (3-5-2)
Remko Pasveer; Jurrien Timber, Virgil van Van Dijk (kapten), Nathan Ake; Jeremie Frimpong, Frenkie de Jong, Teun Koopmeiners, Daley Blind, Davy Klaassen; Cody Gakpo, Steven Bergwijn.
Jurulatih: Louis van Gaal.
– AGENSI