DOHA: Pemain tengah Real Madrid, Luka Modric bakal mengetuai pasukan naib juara, Croatia pada saingan Piala Dunia di Qatar.
Skuad kali ini mempunyai gandingan veteran dan muka baharu dengan skuad Vatreni mungkin menjadi sebuah pasukan yang lebih baik berbanding ketika mereka mara ke pentas final pada 2018.
Kejohanan berprestij kali ini mungkin yang terakhir buat Modric di Piala Dunia dan masih memegang penguasaan dalam skuad yang turut disertai Ivan Perisic, Marcelo Brozovic dan Dejan Lovren namun selebihnya memperlihatkan sebuah pasukan yang sudah dibentuk semula dan cergas.
Diundi dalam Kumpulan F, Croatia mungkin tidak perlu 'bermandi peluh' apabila diletakkan bersama Maghribi, Belgium dan Kanada manakala mereka mungkin menjadi pasukan yang mahu dielakkan dalam pusingan kalah mati.
Untuk sebahagian besar perjalanan ke Piala Dunia Qatar 2022, Croatia sudah mula membentuk pasukan yang dirombak dan hanya sembilan daripada yang pernah beraksi ketika 2018 menyertai skuad dan itu adalah sesuatu yang positif buat mereka.
Skuad turut disertai muka baharu seperti Mario Pasalic yang menyertai kelab Atalanta dan pemain perthanan Leipzig, Josko Gvardiol.
Daripada senarai itu juga, trio tengah berkelas dunia - Modric, Mateo Kovacic dan Marcelo Brozovic - yang mempunyai lebih daripada 300 kap antara mereka bakal memperkuatkan lagi pasukan.
Skuad Vatreni juga dilihat berada dalam keadaan yang baik sebelum kejohanan dengan meraih tiga daripada empat perlawanan termasuk kemenangan 1-0 ke atas Perancis di laman lawan (pasukan yang menewaskan mereka di pentas final, empat tahun lalu) dalam saingan Liga Negara-Negara.
Begitupun, pasukan juga perlu melihat kepada kelemahan yang mereka yang pastinya diintai pasukan lawan. Pasukan ini tampak goyah di benteng terakhir memandangkan tidak mempunyai penjaga gol yang baik dan ketiadaan penjaring yang mantap di bahagian serangan.
Justeru itu, mereka mempunyai masalah dalam struktur pembinaan pasukan dan ini harus menjadi perhatian buat mereka untuk diperbaiki menjelang temasya membuka tirainya.
"Terdapat pemain yang saya dan juga staf yang kami percayai. Tidak ada sebarang tekanan dan kami akan mengambil setiap perlawanan secara satu demi satu," kata pengurus pasukan, Zlatko Dalic.
"Perlawanan pertama buat kami adalah yang terpenting dan fokus kami tertumpu kepada Maghribi. Kami sangat optimis tetapi harus realistik. Ia menjadi sesuatu yang besar buat Croatia untuk berada di Piala Dunia.
"Kami akan mengambil perlawanan satu demi satu dan melakukan yang terbaik mungkin. Pasukan dari 2018 mempunyai seorang pemain dari liga Croatia, dan pasukan ini mempunyai tujuh hingga lapan.
"Selain itu, pasukan di 2018 sudah bermain secara bersama selama 10 tahun dan melalui banyak detik sukar bersama. Ia adalah sesuatu yang baik untuk menyenaraikan pemain berpengalaman seperti Luka Modric, Marcelo Brozovic dan Ivan Perisic.
"Saya juga meletak kepercayaan kepada pemain muda tetapi tanpa pemain lama, ia semuanya tidak akan membuahkan hasil."
PROFIL CROATIA
Persatuan: Hrvatski nogometni savez
Konfedarasi: UEFA
Ketua jurulatih: Zlatko Dalic
Kapten: Luka Modric
Nama gelaran: Vatreni
Kod FIFA: CRO
Ranking: 12
Penyertaan Piala Dunia: 6
Pencapaian: Naib juara 2018
Jadual perlawanan:
Maghribi mln Croatia
23 November, 6 ptg
Std Al Bayt
Croatia mln Kanada
28 November, 12 tgh mlm
Std Antarabangsa Khalifa
Croatia mln Belgium
1 Disember, 11 mlm
Std Al Rayyan