LONDON: Ketua Serantau Pusat Kajian Timur Tengah Britain, Amjad Taha mendakwa Qatar memberikan rasuah kepada lapan pemain Ecuador berjumlah AS$7.4 juta (RM33.70 juta) untuk tewas perlawanan pertama Piala Dunia 2022.
Dakwaan itu hadir menjelang pertemuan antara Qatar dengan Ecuador pada aksi pembukaan di Stadium Al Bayt, malam esok.
"Eksklusif: Qatar merasuah lapan pemain Ecuador AS$7.4 juta (RM33.70 juta) untuk tewas perlawanan pembukaan (1-0 separuh masa kedua).
"Lima sumber dalaman dari Qatar dan Ecuador mengesahkan perkara ini. Kami harap ia tidak benar.
"Kami berharap dengan perkongsian ini keputusannya akan berubah. Dunia harus menentang budaya rasuah dalam FIFA," kata Amjad Taha menerusi ciapan di Twitter.
Qatar ketika ini berada di kedudukan ranking ke-50 dunia dan kempen Piala Dunia kali ini menyaksikan mereka dibimbing Felix Sanchez.
Sementara itu, Ecuador yang berada di kedudukan ke-44 dunia mendapat sentuhan Gustavo Alfaro sebagai jurulatih.
Moises Caicedo dan Enner Valencia antara pemain utama dalam skuad Ecuador.
Sebelum ini, Qatar turut didakwa memberikan rasuah kepada FIFA untuk dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022.
Malah, Qatar sebelum ini berdepan kritikan kerana rekod buruk hak asasi manusianya mengenai layanan pekerja asing dalam projek infrastruktur utama untuk Piala Dunia dan hak wanita serta LGBT.
Setakat ini, FIFA dan Qatar masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan yang dibuat Amjad Taha itu. - Agensi