DOHA: Ada ikatan yang menyambung tiga pasukan yang menjadi pilihan untuk menang Piala Dunia bermula di Qatar, esok.
Brazil, Argentina dan juara bertahan, Perancis dilabelkan sebagai pencabar utama kerana kehebatan mereka selain identiti bintang masing-masing.
Lionel Messi menjadi kapten Argentina yang melalui 36 perlawanan tanpa kalah, Neymar mengetuai Brazil dan harapan Perancis untuk mengekalkan trofi bergantung kepada Kylian Mbappe.
Trio Messi, Neymar dan Mbappe disatukan di Paris Saint-Germain oleh kekayaan kelab dimiliki pemilik dari Qatar.
Hubungan antara mereka mendominasi tajuk utama di Perancis musim ini dan persembahan mereka jelas menakjubkan.
Qatar mencetuskan kejutan pada Disember 2010 apabila mereka menang hak menganjurkan Piala Dunia tahun ini. Enam bulan selepas itu, Qatar Sports Investments membeli PSG.
Selepas sedekad, mereka mengubah kelab itu menjadi antara terkuat di Eropah.
Mbappe dan Neymar menjadi dua pemain termahal ditandatangani dalam sejarah bola sepak apabila mereka ke PSG pada 2017.
Messi menyertai mereka di Paris tahun lalu selepas berhijrah dari Barcelona.
Mereka antara pilihan untuk menang Liga Juara-Juara musim ini dengan Messi, Mbappe dan Neymar meledak 46 gol antara mereka dalam 22 aksi bersama PSG setakat ini.
Piala Dunia dikatakan menjadi sebab persembahan hebat mereka, terutama buat Messi dan Neymar.
Pada usia 35 tahun, Messi sedar dia mungkin tiada lagi peluang untuk memenanginya selepas ini.
"Ia Piala Dunia terakhir saya, itu pasti," katanya kepada ESPN Argentina sebelum ini.
Pemandangan sekitar Corniche dekat Doha atau Souq Waqif sudah cukup menunjukkan populariti Messi di Doha.
Penyokong dari Qatar dilihat memakai jersi Argentina dengan nama Messi serta nombor pemain itu yang memaparkan suasana sebenar menjelang kejohanan.
Sebahagian daripada mereka menanti di luar pusat latihan Argentina sejak awal pagi semalam sambil berharap dapat melihat kelibat Messi ketika ketibaan skuad kendalian Lionel Scaloni di Doha.
"Messi ialah yang terbaik. Kami suka cara Argentina bermain ketika ini dan bersama Messi, mereka adalah yang terbaik," kata seorang penyokong berusia 36 tahun yang dikenali sebagai Shabi dan berasal dari Kerala, India.
Sama seperti Messi, Neymar ialah antara pemain yang imejnya dipaparkan di bangunana besar sekitar Doha. - AFP