DOHA: Bekas bintang Senegal, El Hadji Diouf menyifatkan ketiadaan pemain terbaik Afrika, Sadio Mane pada Piala Dunia sebagai kehilangan besar buat pasukan itu.
Semalam, Senegal mengesahkan penyerang itu akan terlepas kejohanan di Qatar selepas menjalani pembedahan pada kaki kanannya berikutan kecederaan yang dialami ketika bermain untuk Bayern Munich minggu lalu.
"Kami akan merindui Sadio kerana dia seorang pemain yang mampu membawa perbezaan dalam perlawanan," kata Diouf, duta pasukan kebangsaan yang turut menjadi sebahagian daripada pasukan Senegal ketika mara ke suku akhir Piala Dunia 2002.
"Tetapi jangan lupa kami sangat kuat kerana kami juga mempunyai (Edouard) Mendy, (Kalidou) Koulibaly, pasukan yang hebat."
Senegal menjulang trofi Piala Negara-Negara Afrika buat kali pertama Februari lalu dengan Mane menjaringkan penalti kemenangan untuk menewaskan Mesir pada aksi final.
Mane turut menjaringkan penalti kemenangan ketika aksi playoff Piala Dunia yang membolehkan Senegal mengesahkan tiket ke Qatar.
Bekas pemain Liverpool itu turut berada di tempat kedua undian bagi merebut anugerah Ballon d'Or tahun ini di belakang Karim Benzema.
"Benar, ketiadaan Sadio Mane adalah kehilangan besar buat kami, ketua kami tidak berada di sini. Mane memainkan peranan yang sangat penting bagi membawa pasukan layak beraksi di sini.
"Namun, kami perlu bekerja tanpa dia - Senegal perlu menunjukkan kepada seluruh dunia apa yang kami boleh lakukan sebagai juara Afrika.
"Beberapa pasukan tidak mahu bermain menentang Senegal kerana kami mempunyai pasukan yang baik dengan pemain berpengalaman," kata Diouf.
Senegal akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Belanda pada Isnin ini.
Mereka juga akan bertemu Qatar dan Ecuador dalam saingan Kumpulan A. - AFP