Jumaat, 18 November 2022 | 9:05pm
Skuad Uruguay masih bergantung kepada Suarez dan Cavani.
Skuad Uruguay masih bergantung kepada Suarez dan Cavani.

Uruguay tagih bisa Cavani, Suarez

BERBEKALKAN 15 trofi Copa America dan dua kejuaraan Piala Dunia, termasuk Piala Dunia sulung pada 1930, Uruguay ternyata salah satu negara gergasi bola sepak antarabangsa.

Namun ia mungkin tidak terlalu dihormati memandangkan Uruguay hanya menang satu trofi utama (Copa America 2011) sejak permulaan abad ini.

La Celeste layak ke peringkat kalah mati bagi tiga edisi Piala Dunia terakhir, namun kemaraan mereka ke separuh akhir 2010 kekal sebagai kejayaan paling membanggakan akhir-akhir ini.

Oscar Tabarez, arkitek penggerak kejayaan pasukan 2010 dan pengurus Uruguay bagi tiga Piala Dunia terakhir, dipecat pada Disember lalu kerana persembahan buruk negara itu pada kelayakan Piala Dunia, yang termasuk hanya dua kemenangan dalam tujuh aksi pertama kelayakan dengan empat kekalahan berturut-turut ketika beliau disingkirkan.

Tampil bekas pengurus Inter Miami, Diego Alonso, yang mengemudi pasukan itu mencatat empat kemenangan berturut-turut pada pusingan kelayakan sekali gus meraih tempat ke Qatar 2022.

La Celeste hanya kalah sekali di bawah kendalian Alonso iaitu kekalahan 1-0 di tangan Iran pada aksi persahabatan September lalu. Dalam sembilan perlawanan, beliau meraih tujuh kemenangan.

Namun Alonso berdepan cabaran baharu di Qatar kerana menampilkan jentera serangan yang masih bergantung harap kepada bintang veteran Edinson Cavani dan Luis Suarez, yang sudah tampil dalam tiga Piala Dunia.

Walaupun sudah berusia 35 tahun, Suarez masih menjadi tonggak utama Uruguay.

Penyerang itu berakhir di tangga kedua senarai penjaring gol terbanyak kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan dengan lapan gol dalam laluan menempah penampilan keempatnya pada pusingan akhir Piala Dunia.

Bekas bintang Barcelona dan Liverpool itu sudah menjaringkan tujuh gol pada Piala Dunia sepanjang kariernya, hanya satu gol di belakang rekod Uruguay.

Selepas dua tahun bersama Atletico Madrid, Suarez kembali ke Uruguay untuk beraksi dengan Nacional, yang mana dia menjaringkan lapan gol dalam 14 perlawanan.

Uruguay satu daripada pasukan yang sukar untuk diramalkan, disebabkan dilema mereka sendiri dan keseimbangan dalam pasukan.

Alonso berkata, pasukan itu menyasarkan untuk memenangi trofi, tetapi jika beliau gagal menyuntik keseimbangan dalam pasukannya, ia bermakna mereka mungkin tersingkir di peringkat kumpulan.

PROFIL URUGUAY

Persatuan: Persatuan Bolasepak Uruguay

Konfederasi: CONMEBOL (Amerika Selatan)

Ketua jurulatih: Diego Alonso (Uruguay)

Kapten: Diego Godin

Nama gelaran: La Celeste

Kod FIFA: URU

Ranking FIFA: 14

Penyertaan Piala Dunia: 14 (kali pertama 1930)

Pencapaian terbaik: Juara (1930, 1950)

Pencapaian lain: Juara Copa America 1916, 1917, 1920, 1923, 1924, 1926, 1935, 1942, 1956, 1959, 1967, 1983, 1987, 1995, 2011

Jadual perlawanan:

24 November - Uruguay mln Korea Selatan - 9 mlm - Stadium Education City

29 November - Portugal mln Uruguay - 3 pagi - Stadium Lusail

2 Disember - Ghana mln Uruguay - 11 mlm - Stadium Al Janoub

Berita Harian X