KUALA LUMPUR: Walaupun pernah menang besar tujuh tahun lalu, Borussia Dortmund tetap menganggap Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai pasukan kuat menjelang aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, 28 November ini.
Kelab gergasi Jerman itu membelasah Harimau Selatan 6-1 dalam perlawanan persahabatan di Johor Baharu pada 2015.
Penjaga gol Borussia Dortmund, Alexander Meyer menjangkakan aksi sengit bakal dihadapi pasukannya dalam pertembungan dengan juara sembilan kali Liga Super berturut-turut itu.
"Ia akan menjadi perlawanan yang sengit dan saya fikir mereka juga akan bermain sehabis baik untuk berdepan Borussia Dortmund.
"Namun, kami juga sedar Borussia Dortmund mempunyai ramai peminat di Asia. Justeru, kami akan bekerja keras dan menikmati perlawanan itu," katanya pada sidang media, hari ini.
JDT dijangka tampil dengan skuad lebih mantap kali ini selepas dibarisi dengan beberapa pemain bintang termasuk mesin gol mereka, Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri.
Malah, Harimau Selatan juga berada prestasi terbaik musim ini selepas mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia buat kali pertama selain kekal dengan rekod tanpa kalah dalam saingan domestik.
Selain JDT, Borussia Dortmund juga terlebih dahulu akan berdepan kelab Singapura, Lion City Sailors pada 24 November ini sebelum menentang pasukan Vietnam (31 November).